Ketiadaan penghadang longkang: Penduduk Puncak Alam bimbang tragedi ragut nyawa berulang

6 May 2026 • 2:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ketiadaan penghadang longkang: Penduduk Puncak Alam bimbang tragedi ragut nyawa berulang
Harrison (depan tengah) dan penduduk meninjau keadaan longkang di Lorong Cakera Purnama 12/27, susulan kejadian kanak-kanak maut terjatuh pada 28 April lalu.

KUALA SELANGOR - Penduduk di beberapa taman perumahan Fasa 3 Puncak Alam di sini menggesa pihak berwajib mengambil tindakan konkrit memasang pagar penghadang longkang di Lorong Cakera Purnama 12/27, susulan kejadian kanak-kanak maut terjatuh pada 28 April lalu.

Seorang penduduk, Shahrun Naim Ab Munir, 40, berkata, aspek keselamatan perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan nyawa dan bukan sekadar kemudahan awam biasa.

"Kita harap pihak berwajib khususnya MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor) dapat ambil tindakan seperti memasang penghadang atau menutup longkang ini mengikut kesesuaian,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Kira-kira 1,000 unit rumah di Puncak Alam menggunakan fasiliti padang permainan itu pada setiap hari.

Shahrun Naim memberitahu, keperluan paling mendesak ketika ini ialah pemasangan pagar penghalang bagi mengelakkan orang awam terutama kanak-kanak menghampiri kawasan berbahaya itu.

"Sekurang-kurangnya kalau bola jatuh atau kanak-kanak bermain di sini ada halangan yang mengelakkan mereka turun ke dalam longkang untuk mengambilnya,” katanya.

Menurutnya, keadaan kawasan itu juga gelap pada waktu malam sekali gus meningkatkan risiko kepada pengguna jalan raya dan pejalan kaki.

"Kalau tak perasan memang boleh terbabas ke dalam longkang memandangkan kawasan ini memang gelap pada waktu malam.

"Waktu pagi dan petang pula, ramai pelajar menggunakan laluan ini untuk ke sekolah, termasuk yang berbasikal dan ini juga berisiko," jelasnya.

Penduduk, Khairul Anuar Razali, 42, berkata, setakat ini dia masih belum melihat sebarang penambahbaikan fizikal dari aspek keselamatan longkang itu meskipun telah berlaku kejadian meragut nyawa.

"Secara fizikal, belum ada lagi sebarang penambahbaikan daripada pihak berwajib, namun penduduk mengambil langkah sendiri dengan mengingatkan komuniti supaya memantau anak-anak terutama ketika hujan lebat,” katanya.

Jelasnya, longkang itu terletak kira-kira 10 meter dari padang awam yang sering menjadi tumpuan orang ramai terutama golongan muda pada waktu petang.

Katanya, keadaan menjadi lebih berbahaya ketika hujan apabila paras air meningkat dengan cepat dan arus menjadi deras.

"Keadaan ini mendedahkan risiko kepada kanak-kanak, apatah lagi paras air boleh meningkat antara dua hingga tiga meter ketika hujan.

"Bagi kanak-kanak, paras air longkang ini sudah dianggap tinggi dan berbahaya,” katanya.

Khairul Anuar berkata, kejadian itu merupakan kes pertama direkodkan di kawasan itu, namun ia cukup menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, isu longkang terbuka yang mengundang risiko keselamatan di kawasan itu bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama dibangkitkan penduduk.

"Kita dukacita apabila isu itu gagal ditangani hingga akhirnya menjadi titik hitam melibatkan kehilangan nyawa,” katanyam

Menurutnya, beliau bersama penduduk sudah lama memohon MPKS serta kerajaan negeri meneliti semula aspek keselamatan longkang terbuka di kawasan berkenaan.

Katanya, perkembangan positif mula kelihatan apabila terdapat perancangan untuk membina pagar penghadang sebagai langkah pencegahan.

"Saya difahamkan sebelum ini Menteri Besar, (Datuk Seri Amirudin Shari) turut menyatakan tindakan akan diambil termasuk mendirikan pagar di kawasan ini," jelas beliau.

Harrison memberitahu, kemudahan asas di kawasan itu termasuk longkang dan padang permainan telah wujud lebih 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan langkah jangka pendek seperti pemasangan papan tanda amaran dan kon keselamatan di kawasan berisiko.

"Selain itu, kesedaran dalam kalangan ibu bapa juga penting dan berharap mereka tidak lepaskan anak-anak bermain tanpa pemantauan terutama di kawasan berisiko.

"Kita perlu kerjasama semua pihak termasuk penduduk dan jawatankuasa komuniti untuk menyebarkan peringatan melalui kumpulan WhatsApp,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Khairil Izani Khaizalullinudin, 10, hanyut dibawa arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang ketika bermain bola semasa hujan lebat kira-kira jam 3 petang.

Mayat kanak-kanak lelaki berpakaian lengkap itu kemudian ditemukan bomba di tebing sungai Sungai Buloh, Ijok, kira-kira jam 1 petang Khamis lalu.