‘Ketiadaan rakaman CCTV dedah kelemahan keselamatan sekolah’

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 5:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

‘Ketiadaan rakaman CCTV dedah kelemahan keselamatan sekolah’

Kota Kinabalu: Ketiadaan rakaman CCTV menimbulkan persoalan baharu sama ada sistem keselamatan sekolah di Malaysia benar-benar melindungi pelajar atau sekadar memberi gambaran samar-samar bahawa perlindungan disediakan.

Adun Likas Tham Yun Fook (gambar) berkata pendedahan berhubung kes terbaharu pelajar Tingkatan Empat Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang ditemui meninggal dunia di dalam dewan sekolahnya di Johor pada hujung minggu lalu menimbulkan persoalan berhubung tahap keselamatan di sekolah.

“Sekolah berkenaan mempunyai CCTV yang dipasang tetapi lokasi terbabit berada di luar liputannya, menunjukkan kegagalan lebih meluas oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengenal pasti dan menjaga kawasan yang boleh mendatangkan risiko kepada pelajar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan berapa ramai lagi pelajar perlu menjadi mangsa sebelum KPM menganggap keselamatan sekolah sebagai satu krisis yang memerlukan tindakan tegas bukannya satu lagi pusingan siasatan, jaminan dan janji untuk memperkukuh prosedur.

Tham berkata tragedi itu tidak seharusnya dilihat sebagai kes terpencil dengan menyatakan kejadian buli, penderaan, keganasan dan kematian membabitkan pelajar di sekolah serta asrama berulang kali berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Setiap kali tragedi berlaku, orang awam mendengar janji yang sama bahawa siasatan akan dijalankan, tindakan tegas akan diambil dan SOP akan diperkukuh tetapi tragedi masih berterusan,” katanya.

Bekas pegawai kanan pendidikan itu berkata kejadian yang berulang menunjukkan langkah sedia ada gagal menangani kelemahan asas dalam sistem berkenaan.

Beliau mencabar KPM menjelaskan mengapa kawasan yang berpotensi berbahaya atau terpencil dalam kawasan sekolah tidak dipantau dengan secukupnya,mengapa sistem keselamatan gagal memberikan amaran lebih awal dan mengapa masalah buli terus berlaku walaupun kempen serta program kesedaran sudah dilaksanakan selama bertahun-tahun.

Bagi Tham, isu itu bukan lagi sekadar menentukan siapa yang perlu disiasat selepas sesuatu tragedi berlaku.

“Persoalan lebih besar ialah mengapa sistem yang sepatutnya melindungi pelajar gagal berbuat demikian,” katanya.

Beliau turut menghidupkan semula cadangannya supaya Jawatankuasa Dwipartisan Mengenai Buli dan Keselamatan Pelajar ditubuhkan di peringkat sekolah, daerah dan negeri.

Katanya, jawatankuasa itu perlu menghimpunkan KPM, pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), wakil kerajaan dan pembangkang, kumpulan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan pemantauan berterusan dan telus tanpa campur tangan politik.

Tham berkata cadangan daripada pihak luar kementerian tidak lagi boleh diketepikan, sambil memberi amaran bahawa sikap mempertahankan birokrasi boleh membawa kos yang tinggi.

“KPM tidak boleh terus mempertahankan sistem sedia ada setiap kali tragedi berlaku sambil mengabaikan cadangan membina untuk penambahbaikan,” katanya.

Beliau menggesa Menteri Pendidikan mengambil tanggungjawab politik dan moral terhadap kegagalan berulang serta menuntut audit keselamatan di seluruh negara meliputi semua sekolah dan asrama.

Beliau turut menggesa ketelusan lebih tinggi dalam melaporkan kes buli dan meminta mereka yang didapati cuai dikenakan tindakan sewajarnya.

Tham berkata keyakinan awam terhadap keupayaan KPM melindungi pelajar semakin terhakis dengan setiap kejadian yang berulang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved