
PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera menilai dan merombak kelemahan dalam dasar pengawasan sekolah, pengupayaan guru serta sistem pengesanan awal ancaman bagi menjamin keselamatan murid di sekolah di seluruh negara.
Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, beberapa kejadian melibatkan kematian di sekolah sejak akhir-akhir ini menimbulkan persoalan besar berhubung keselamatan institusi pendidikan awal di negara.
Katanya, persoalan itu menjadi semakin serius dengan laporan 2,889 kes salah laku buli direkodkan pada 2025 sehingga menjadi pertanyaan adakah senario sedemikian menggambarkan ada masalah sistemik di sekolah.
“Semestinya Ini menimbulkan kebimbangan yang cukup besar terhadap keupayaan keselamatan institusi pendidikan kita. Adakah sekolah masih lagi selamat? Ini adalah satu tamparan besar, a wake-up call. Sampai bila patut berterusan begini?
“Kerajaan perlu segera menilai dan merombak kelemahan dalam dasar pengawasan sekolah, pengupayaan guru serta sistem pengesanan awal ancaman,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Hafiz berkata, isu keselamatan di sekolah memerlukan pendekatan seluruh negara iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ibu bapa, sekolah, agensi keselamatan serta agensi yang mengawal kandungan dan platform digital dan media sosial.
Katanya, semua pihak perlu bergerak bersama dalam menangani isu tersebut bagi mengelakkannya daripada terus berlarutan.
“Perkukuh pemantauan, sokongan guru dan bajet keselamatan; perketat moderasi kandungan untuk pengguna bawah 18 tahun serta banteras penjualan vape kepada bawah umur dan penyalahgunaan cecair vape mengandungi dadah,” katanya.
Beliau berkata, keadaan semasa nampaknya sudah tidak boleh diteruskan seperti biasa sebaliknya perlu ada langkah luar biasa.
“Kita hantar anak dengan harapan dan semestinya kita mahu mereka pulang dengan selamat. Bertindaklah sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa dan kepercayaan terhad,” katanya. – UTUSAN
The post Rombak semula aspek keselamatan sekolah – Pemuda UMNO appeared first on Utusan Malaysia.





