Ketibaan pelancong pada cuti Tahun Baharu Cina lonjak semula industri, MAHB, Perak Transit jadi pilihan utama Am Investment
herman
14/02/2024 - 15:29
KUALA LUMPUR 14 Feb - Jumlah pelancong China ke Malaysia pada tempoh cuti perayaan Tahun Baharu Cina ketika ini diunjurkan meningkat dengan ketara yang sekali gus menafaatkan industri pelancongan termasuk sekor pengangkutan dan logistik, kata Am Investment Bank.
Meski belum terdapat data mengenainya, namun firma itu berkata, maklumat yang diperoleh daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menunjukkan penerbangan Kuala Lumpur-Hong Kong dan Kuala Lumpur-Shanghai bakal menyaksikan peningkatan kapasiti pada 2024.
Kata firma itu, begitu juga dengan laluan Kuala Lumpur-Hangzhou (Loong Air), Kuching-Nanjing (China Eastern Airline) dan Kuala Lumpur-Xian (AirAsia).
Lonjakan ini kata Am Investment, berkait dengan polisi pengecualian visa yang dilaksanakan beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia yang terbukti menarik minat rakyat negara itu.
"Malaysia telah menyaksikan peningkatan 35% ketibaan pelancong China pada Disember 2023 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya," kata Am Investment dalam nota penyelidikan hari ini.

Tambah firma itu, mereka mendapat maklumat mengenai kerajaan kedua-dua negara negara sedang berbincang mengenai lanjutan tempoh pengecualian visa yang sebelum ini diputuskan sehingga November 2024.
Katanya, statistik pihak berkuasa negara itu juga menunjukkan warga Malaysia turut membentuk pelancong dalam negara yang tinggi di China.
"Tourism Malaysia menyasarkan ketibaan 5 juta pelancong China pada tahun ini yang merupakan negara penting kepada industri," ujarnya.
Sehubungan itu, Am Investment mengekalkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebagai penerima manfaat daripada pemulihan dalam sektor penerbangan pada 2024 dengan ketibaan pelancong asing mengatasi tahap pra-pandemik.
Firma itu mengekalkan saranan 'Beli' MAHB dengan FV pada RM8.07.
Turut menjadi pilihan AM Investment ialah Perak Transit Bhd ('Beli': FV: RM1.49).
"Perak Transit menawarkan pelaburan yang stabil kerana penglibatannya dalam infrastruktur awam, yang biasanya mempunyai permintaan yang stabil.
“Syarikat itu mengalami pertumbuhan berikutan peningkatan penggunaan (penghunian dan trafik pejalan kaki) kemudahannya di Terminal Meru Raya dan Kampar Putra Sentral, dan syarikat itu dijangka mula memperoleh pendapatan daripada Terminal Bidor Sentral pada separuh pertama tahun kewangan 2024," katanya. - DagangNews.com


