Ketidakhadiran pembesar negeri tidak jejaskan keabsahan persidangan DUN NS - Tuanku Muhriz

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 12:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ketidakhadiran pembesar negeri tidak jejaskan keabsahan persidangan DUN NS - Tuanku Muhriz
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan bertitah pada Perasmian Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 hari ini. Foto Bernama

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiringi baginda pada setiap perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan pada hari ini.

Baginda bertitah, pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa, demi memastikan kelangsungan tadbir urus yang teratur serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

"Beta berdoa kepada ALLAH supaya negeri dan rakyat beta terus diberikan kesejahteraan serta hidup dalam suasana harmoni melalui kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama barisan exco kerajaan negeri.

"Beta berasa amat bersyukur kerjasama kukuh dalam kerajaan beta terus menunjukkan prestasi yang amat cemerlang pada tahun 2025," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Ke-15 di sini pada Khamis.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Bagaimanapun, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, tidak hadir ke persidangan tersebut.

Selain itu, baginda turut mengingatkan kepada individu yang telah diberikan jawatan atau kedudukan tinggi agar dapat menjalankan amanah serta tanggungjawab sebaik mungkin.

Titahnya, segala tindakan dan keputusan hendaklah dibuat setelah meneliti semua fakta dan maklumat yang berkaitan.

"Setiap tindakan dan keputusan yang diambil mestilah berlandaskan garis panduan serta undang-undang yang telah ditetapkan.

"Jangan sekali-kali membuat keputusan atau tindakan yang dipengaruhi oleh hawa nafsu dan emosi semata-mata," titahnya.

Tuanku Muhriz bertitah, kegagalan mematuhi prinsip itu boleh menjejaskan integriti pentadbiran serta kesejahteraan negeri.

Baginda turut menyeru kepada netizen agar bertanggungjawab terhadap ulasan atau komen yang dibuat.

"Janganlah terlalu mudah mempercayai dan menyebarkan sesuatu berita tanpa siasatan serta pengesahan yang sewajarnya.

"Sikap terburu-buru dan tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat boleh membawa kesan yang tidak baik kepada masyarakat dan negeri," titahnya.