Ketidaktentuan kos bahan api global, rakyat perlu bersedia

LocalBusiness & Finance
2 Apr 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Negara dan rakyat perlu bersedia menghadapi peningkatan kos untuk penjanaan elektrik. Gambar hiasan

KONFLIK geopolitik di Asia Barat yang berterusan memberi kesan terhadap kos bahan api dunia turut memberi impak kepada Malaysia dan negara perlu bersedia menghadapi peningkatan kos untuk penjanaan elektrik.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh berkata, kesan terhadap sistem tenaga negara masih terkawal kerana sebahagian besar bekalan gas adalah daripada sumber domestik.

Kelebihan Malaysia yang mempunyai kira-kira 80 peratus gas domestik bagi penjanaan elektrik sememangnya mengurangkan pendedahan langsung kepada turun naik harga global, namun negara masih terkesan kerana ia berkait dengan harga rujukan pasaran (MRP).

Peningkatan kos bahan api dijangka akan mula diterjemahkan ke dalam sistem tenaga melalui mekanisme Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA) dan masyarakat perlu bersedia untuk kenaikan kos berkenaan.

Persoalannya, sejauh mana rakyat benar-benar memahami mekanisme AFA yang dilaksanakan dan implikasinya terhadap bil elektrik bulanan mereka.

Walaupun pelarasan dibuat secara berkala dan tertakluk kepada ambang tertentu, hakikatnya kos tetap perlu ditanggung sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Selain gas, peningkatan harga arang batu di pasaran global turut menambah tekanan memandangkan Malaysia mengimport sepenuhnya sumber tersebut.

Peralihan negara-negara lain kepada arang batu akibat kekangan bekalan gas dunia hanya memburukkan lagi situasi harga komoditi itu.

Dalam masa sama, kelewatan dalam rantaian bekalan menyebabkan kesan sebenar kenaikan kos mungkin hanya dirasai selepas beberapa tempoh tertentu.

Keadaan itu menjadikan unjuran bahan api yang diterbitkan secara berkala sebagai panduan penting kepada industri untuk merancang langkah seterusnya.

Walaupun Malaysia dilihat lebih bersedia berbanding negara lain, rakyat tetap perlu bersedia menghadapi realiti kenaikan kos tenaga dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.