Ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat dikhuatiri menjejaskan sektor teknologi Malaysia - Maybank IB

LocalTechnology
23 Jun 2025 • 11:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat dikhuatiri menjejaskan sektor teknologi Malaysia - Maybank IB

image is not available

23/06/2025 - 11:05

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - Ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat (AS) dikhuatiri memberi impak negatif terhadap unjuran perdagangan dan menjejaskan sektor teknologi Malaysia, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Katanya, rundingan tarif antara Malaysia dan AS masih belum dimuktamadkan dan tiada sebarang keputusan dicapai setakat ini.

Firma penyelidikan itu berkata, tempoh pengecualian sementara selama 90 hari terhadap tarif balas dijadualkan berakhir pada 8 Julai ini, namun masih tiada pengumuman dibuat berkenaan sektor semikonduktor — yang merupakan tonggak utama eksport teknologi Malaysia.

"Kami menjangkakan hasil rundingan tarif yang positif, dengan kadar tarif yang mungkin lebih rendah daripada 24% yang dicadangkan sebelum ini. Kami berharap tarif ke atas semikonduktor dapat dikurangkan sebahagian, jika tidak sepenuhnya,” katanya dalam satu nota kajian.

Maybank IB berkata, sentimen pelaburan kekal terpilih, dengan keyakinan terhadap pemain pusat data seperti YTL Power International Bhd dan Gamuda Bhd. Liputan juga diperluas untuk merangkumi Southern Cable Group Bhd dan MN Holdings Bhd memandangkan aktiviti dalam sektor ini menunjukkan tanda-tanda peningkatan.

Firma penyelidikan itu kekal neutral terhadap sektor teknologi secara keseluruhan, memetik ketidaktentuan makroekonomi dan tekanan struktur sebagai faktor utama.

"Keputusan kewangan suku pertama tahun 2025 (1QFY25) yang baru sahaja berakhir turut mengecewakan jangkaan pasaran, dengan banyak syarikat mencatatkan prestasi di bawah jangkaan akibat pertumbuhan yang perlahan berpunca daripada ketidaktentuan berkaitan tarif.

"Bagaimanapun, sektor teknologi akan terus berdepan tekanan margin pada separuh kedua 2025 disebabkan peningkatan kos operasi dalam syarikat pemasangan dan ujian semikonduktor luar (OSAT) serta pengeluar peralatan ujian automatik (ATE).

"Kelewatan dalam perbelanjaan modal oleh pelanggan ATE/pemasangan akhir dan sistem (FAS), serta kekurangan pelaburan sebelum ini dalam pembungkusan maju juga dijangka menjejaskan prestasi," katanya.

Sementara itu, Maybank IB berkata, pembuatan elektronik (EMS) terus mencatatkan aktiviti pemajuan pesanan berikutan ketidaktentuan tarif.

Firma penyelidikan itu percaya, trend ini bukan sekadar tindak balas sementara tetapi akan menjadi pemacu struktur dan akan terus menyokong sektor EMS.

Kepelbagaian rantaian bekalan ini, yang didorong oleh ketegangan geopolitik dan peningkatan tarif, menggalakkan syarikat-syarikat untuk mengurangkan risiko jejak pengilangan mereka dengan memindahkan operasi ke pasaran alternatif seperti Malaysia.

"Segmen EMS juga dijangka meraih manfaat daripada perubahan teknologi seperti kebangkitan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan yang semakin pesat, yang kedua-duanya mendorong peningkatan permintaan terhadap penyumberan luar di seluruh rantaian bekalan," katanya. - DagangNews.com

standard