
PENAMPANG: Alice Dison menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Daerah Penampang dan wanita kedua di Sabah memegang jawatan itu selepas Edna Majimbun, yang pernah berkhidmat dalam kapasiti berkenaan di Kota Kinabalu.
Dison, 69, berkata pelantikannya merupakan pencapaian penting bukan sahaja bagi dirinya, malah bagi kaum wanita yang memegang peranan kepimpinan dalam pentadbiran Hal Ehwal Anak Negeri.
Majlis angkat sumpah itu berlangsung di Mahkamah Anak Negeri Sabah dan disaksikan oleh Presiden Majlis Daerah Penampang, Noemi Dyena John Tren.
Sebelum dilantik sebagai Ketua Daerah, Dison berkhidmat sebagai Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) bagi Kapayan pada 2022 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) bagi Kapayan pada 2024.
“Saya benar-benar berasa terhormat dan rendah hati atas kepercayaan yang diberikan kepada saya. Bagi saya, pelantikan ini bukan sekadar jawatan, tetapi tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan ikhlas, adil dan rendah hati,” katanya.
Beliau berharap dapat bekerjasama rapat dengan pemimpin tempatan untuk mengukuhkan perpaduan antara Kapayan dan Penampang, melindungi hak adat serta tradisi, dan memastikan suara masyarakat terus didengari.
Dison turut merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Daerah, OKK Charles Masuil, atas khidmat bakti beliau selama ini.
“Kami amat berterima kasih kepada Charles atas kebijaksanaan, komitmen dan sumbangan beliau kepada masyarakat. Khidmat beliau telah meletakkan asas yang kukuh dan saya berharap dapat meneruskan usaha baik yang telah dilakukannya,” katanya.
Mengenai cabaran yang bakal dihadapi, Dison berkata isu berkaitan pertikaian tanah dan keluarga, penyampaian keadilan anak negeri secara adil dan tepat pada masanya serta menangani perubahan keperluan masyarakat memerlukan kerjasama erat antara pemimpin masyarakat.
“Saya percaya cabaran ini dapat diatasi melalui kerjasama erat, dengan mendengar suara rakyat dan berganding bahu mencari penyelesaian praktikal.
“Kita mesti terus komited untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan ikhlas dan berkesan, serta sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Antara keutamaan beliau ialah menambah baik penyampaian keadilan anak negeri, memelihara adat resam, bahasa dan warisan budaya anak negeri, serta memastikan generasi muda terus berbangga dengan asal usul mereka sambil memperoleh peluang untuk masa depan yang lebih baik.
Dison percaya kepimpinan berkesan bermula dengan kesediaan untuk mendengar.
“Saya merancang untuk mengekalkan komunikasi terbuka dan mengadakan pertemuan secara berkala dengan Ketua Kampung, ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pemimpin masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memahami dengan lebih baik keperluan masyarakat.
“Dengan bekerjasama dan menghormati peranan masing-masing, kita dapat membawa perubahan positif kepada masyarakat.”Beliau menamakan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai pemimpin yang paling dikaguminya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas kepercayaan melantiknya ke jawatan berkenaan.






