
KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan berhubung tiga kejadian berasingan dipercayai melibatkan wanita sama yang sebelum ini didakwa menolak dan memukul dua kanak-kanak di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, laporan berhubung tiga kejadian itu diterima daripada pengurus bangunan pusat beli-belah berkenaan kira-kira pukul 7.59 malam semalam.
Menurutnya, ketiga-tiga kejadian itu melibatkan seorang wanita yang dipercayai mengganggu pengunjung dan pelanggan di premis berkenaan.
“Polis turut menerima satu laporan daripada mangsa yang mendakwa wanita berkenaan telah bertindak menolak dan memukul dua orang anaknya dalam kejadian pada hari sama.
“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Azwan berkata, polis memandang serius sebarang perlakuan berbentuk kekerasan, ugutan dan gangguan terhadap orang awam khususnya apabila melibatkan keselamatan kanak-kanak.
Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun selepas dua anaknya berusia tujuh dan dua tahun didakwa dikasari seorang wanita di pusat beli-belah berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, wanita berkenaan didakwa menolak kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari belakang sehingga terjatuh sebelum memukul bahagian belakang kepala adik perempuannya yang berusia dua tahun.
Rakaman video berdurasi 35 saat memaparkan pertengkaran melibatkan individu di pusat beli-belah berkenaan turut tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga kejadian gangguan dikaitkan wanita didakwa kasari dua kanak-kanak appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] 92 rumah terjejas, tiga mangsa dipindahkan di Kampung Melayu Subang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-02-at-20.09.35-e1793621656322.jpeg)


