
Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Filipina berusia 34 tahun yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 43 bulan oleh Mahkamah Majistret atas pelbagai kesalahan, didakwa bersama seorang lagi lelaki atas tuduhan menyamun seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.
Sahiron Redzgilul, 34, yang dipercayai ketua Geng Gurun dan Cyril John Paniah, 43, masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.
Bagaimanapun hukuman terhadap kedua-dua tertuduh ditangguhkan sehingga 5 November ini sementara menunggu fakta kes.
Sementara menunggu tarikh berkenaan, kedua-dua mereka diperintahkan untuk terus ditahan dalam tahanan reman.
Mereka didakwa melakukan samun berkumpulan terhadap remaja perempuan itu pada jam 6.45 pagi, 27 Ogos lalu di sebuah rumah di Taman Austral.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi rakan subahat yang masih bebas.
Kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Lelaki dipenjara lima tahun kerana ulangi kesalahan dadahSementara itu seorang lelaki berusia 58 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana mengulangi kesalahan mengambil dadah jenis syabu buat kali ketiga.
Awang Azmi Mohd Talib mengaku mengambil dadah berkenaan pada jam 9.30 malam, 4 April lalu selepas ujian air kencing yang dijalankan di Balai Polis Papar mendapati dia positif dadah.
Dia mempunyai dua rekod sabitan terdahulu atas kesalahan mengambil dadah sama.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu diletakkan di bawah pengawasan polis selepas selesai menjalani hukuman penjara.





