
KOTA MARUDU: Tindakan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun membawa sebilah pisau dan berkurung di dalam bilik tidurnya di sebuah rumah di Taman Suria, dekat sini, pada Isnin, menyebabkan ahli keluarganya terpaksa mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu mengambil masa kira-kira 30 minit berusaha memujuk dan membawa remaja itu keluar ke tempat selamat.
Berdasarkan maklumat yang diterima daripada ahli keluarga, remaja itu dipercayai bertindak sedemikian selepas berlaku perselisihan faham dengan adik-beradiknya.
Dalam kenyataan pada Isnin, Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera digegaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.18 pagi menerusi talian balai.
Menyedari kehadiran bomba, remaja itu cuba keluar melalui tingkap di bahagian belakang biliknya. Anggota bomba kemudian naik ke bahagian bumbung berhampiran tingkap bagi menenangkan dan memastikan keselamatan remaja tersebut.
Pasukan berjaya memujuk dan mengawal keadaan pada jam 10.55 pagi. Remaja itu seterusnya diserahkan kepada ahli keluarganya dalam keadaan baik dan selamat.
Setelah memastikan remaja itu berada dalam keadaan selamat dan telah diserahkan kepada ahli keluarga, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.05 pagi.


