Ketua Jabatan, pengarah agensi kerajaan ditahan SPRM, disyaki seleweng dana RM900,000

LocalPolitics
11 Feb 2026 • 6:14 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ketua jabatan dan pengarah jabatan agensi kerajaan kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana bernilai kira-kira RM900,000.

Pendedahan SPRM menerusi TikTok rasminya itu memaklumkan, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 1 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024.

“Kedua-dua suspek dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Menurut SPRM, kedua-dua suspek juga didapati telah mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan siasatan masih giat dijalankan.

SPRM, katanya, tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan sekiranya terdapat bukti dan keterangan tambahan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta turut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah dan salah guna harta,’’ katanya. - 11 Februari, 2026.

The post Ketua Jabatan, pengarah agensi kerajaan ditahan SPRM, disyaki seleweng dana RM900,000 appeared first on Scoop.