Ketua Kampung Baru Cina perlu jadi ‘mata dan telinga’ kerajaan - Kor Ming

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 2:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ketua Kampung Baru Cina perlu jadi ‘mata dan telinga’ kerajaan - Kor Ming
Kor Ming ketika berucap dalam majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Cina Negeri Perak pada Jumaat.

IPOH - Ketua Kampung Baru Cina diingatkan supaya sentiasa turun padang serta berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pelantikan sebagai ketua kampung bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya amanah besar yang menuntut komitmen tinggi dalam menyampaikan dasar kerajaan dan menjaga kebajikan masyarakat.

“Ketua kampung perlu sentiasa berada di lapangan dan pada masa sama menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat.

“Jadilah pemimpin yang disenangi warga kampung serta sentiasa mencari ikhtiar bagi mengatasi masalah yang dihadapi komuniti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempunakan Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Cina Negeri Perak di sini pada Jumaat.

Seramai 160 ketua kampung dari seluruh Perak menerima watikah pelantikan dalam majlis berkenaan yang turut dihadiri Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kekal komited memperkasa pembangunan di semua 613 kampung baru Cina seluruh negara melalui empat hala tuju utama.

Menurutnya, hala tuju itu merangkumi peningkatan infrastruktur, program pengindahan, pembangunan eko-pelancongan serta pengukuhan ekonomi komuniti menerusi inisiatif 'Kampung Good'.

"Semua ini sudah tentu memerlukan kerjasama ketua kampung," katanya.

Sementara itu, beliau menambah, 10 ketua kampung baru Cina di Perak yang mempuyai rekod berprestasi tinggi akan dipilih untuk diberikan pengiktirafan.

Katanya, pengiktirafan tersebut termasuklah imbuhan sebagai galakan untuk mereka terus tekun berkhidmat kepada masyarakat.

"Saya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya ketua kampung yang benar-benar berjasa, berbakti dan komited dalam tugas turut diberikan pengiktirafan," katanya.