MELAKA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berjaya menyelesaikan sepenuhnya 34 projek sakit di bawah portfolio pembangunan yang memberi manfaat kepada 22,291 pembeli rumah.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kejayaan tersebut hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, PR1MA serta semua pihak berkepentingan.
Menurutnya, Majlis Penyerahan Kunci Residensi Klebang 2 dan Residensi Bukit Katil pada Khamis merupakan projek sakit terakhir diselesaikan kementerian itu.
“Sebelum ini, kedua-dua projek berkenaan mengalami kelewatan pembinaan susulan pandemik Covid-19 yang menjejaskan rantaian bekalan bahan binaan, meningkatkan kos pembinaan serta menyebabkan kekurangan tenaga kerja.
“Residensi Klebang 2 dan Residensi Bukit Katil masing-masing melibatkan 800 dan 407 unit apartmen yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang, dewan serbaguna, surau, taska, tadika serta kawasan rekreasi.
“Unit kediaman ditawarkan pada harga bermula sekitar RM180,000 dan masih dibuka untuk jualan,” katanya pada penyerahan kunci kepada 20 pembeli sebagai simbolik majlis berkenaan di Residensi Klebang 2 di sini.
**media[3479622]**
Beliau berkata, bagi mengelakkan isu projek sakit berulang, kerajaan kini memberi tumpuan kepada Reformasi Perumahan Madani melalui transformasi menyeluruh sistem penyampaian projek.
“Usaha ini merangkumi pengukuhan akauntabiliti dan ketelusan serta penggunaan teknologi pembinaan moden dan digitalisasi bagi mengurangkan risiko kelewatan dan memastikan kualiti binaan lebih konsisten.
“Sehingga kini, Perbadanan PR1MA Malaysia telah membangunkan tujuh projek perumahan di Melaka melibatkan 4,514 unit kediaman, sekali gus memperkukuh peranannya dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya.
Pada perkembangan sama, beliau memberi jaminan sektor perumahan negara kekal stabil walaupun dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik global melalui pelbagai reformasi dilaksanakan yang menjadi benteng bagi memastikan industri perumahan terus berdaya.
Sementara itu, wakil Ketua Menteri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kejayaan pembangunan tersebut membuktikan kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memastikan setiap projek dilaksanakan dengan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PR1MA, Ts Brian Iskandar Zulkarim pula menegaskan bahawa penyiapan Residensi Bukit Katil menandakan tiada lagi projek sakit dalam portfolio PR1MA.
“PR1MA komited memastikan setiap projek dirancang dan dilaksanakan mengikut standard tinggi serta disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Sebagai langkah perlindungan tambahan kepada pembeli, kerajaan akan melaksanakan audit Akaun Pemaju Perumahan (HDA) bagi memastikan penggunaan dana lebih telus serta mengelakkan penyelewengan,” katanya.
Selain itu katanya, bakal pembeli boleh menyemak senarai hitam pemaju melalui platform Teduh.
Dalam pada itu, PR1MA merancang pembangunan lebih 4,351 unit kediaman baharu di seluruh negara dengan penekanan kepada aspek mampan dan keperluan gaya hidup semasa, selaras dengan aspirasi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
