Ketua kumpulan kongsi gelap bergelar Datuk antara 291 ditahan, dadah RM6.26 juta dirampas

26 Jun 2026 • 1:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ketua kumpulan kongsi gelap bergelar Datuk antara 291 ditahan, dadah RM6.26 juta dirampas
Hussein (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki bergelar 'Datuk' antara 291 individu ditahan kerana telibat dalam aktiviti dadah dalam Op Gaurus yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Perak, Lembah Klang dan Johor pada minggu lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia pertengahan 40-an itu dipercayai merupakan ketua kumpulan kongsi gelap yang aktif di negeri-negeri berkenaan.

"Dalam operasi berkenaan pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah antaranya jenis heroin, serbuk dan cecair MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil erimin 5 dan ganja bernilai RM6.26 juta selain berjaya memberkas seramai sembilan ahli sindiket berkenaan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Hussein berkata, modus operandi sindiket pengedaran dadah yang diketuai oleh Datuk berkenaan ialah dengan membeli dadah secara pukal dan kemudian membungkus semula untuk dijual di pusat-pusat hiburan.

"Sindiket ini dipercayai aktif beroperasi di sekitar Perak, Lembah Klang, dan Johor sejak pertengahan 2024," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan pihaknya turut merampas pelbagai jenis kereta antaranya sebuah kereta jenis Nissan Sentra, sebuah kereta Jenis Mazda sebuah Maserati Ghibli, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Mercedes Benz CL250, dua utas jam tangan Rolex dan wang tunai RM4,383.

"Semua yang ditahan berusia 19 hingga 74 tahun dan lima daripada mereka positif pelbagai jenis dadah.

"Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 terhadap semua aset milik sindiket berkenaan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved