
PENAMPANG: Enam lelaki tempatan ditahan manakala dadah dianggarkan bernilai RM480 dirampas dalam satu operasi bersepadu membanteras penyalahgunaan dadah.
Operasi itu dijalankan di beberapa lokasi sekitar Penampang bermula malam Rabu hingga awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata operasi berkenaan menyasarkan sebuah kafe, kawasan sekitar pusat hiburan di Damas 118 Plaza dan Kepayan Point serta sebuah unit kondominium di Nosoob.
Katanya, serbuan itu membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 40 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hasil siasatan membawa kepada rampasan 20.5 mililiter cecair yang dipercayai mengandungi MDMA/Psilocybin dengan anggaran nilai RM360 serta 5.41 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM120.
“Jumlah keseluruhan nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM480,” katanya dalam satu kenyataan.
Sammy berkata siasatan awal mendapati seorang daripada suspek dipercayai membekalkan dadah kepada beberapa individu lain yang turut ditahan dalam operasi itu.
Menurutnya, maklumat yang diperoleh daripada tangkapan awal membawa kepada penahanan seorang lagi suspek serta serbuan susulan di sebuah kondominium di mana polis menemui ganja dan menahan dua lagi suspek.
Ujian saringan air kencing mendapati lima daripada enam suspek positif THC, manakala semakan turut mendapati beberapa daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Polis Daerah Penampang akan terus mempergiat operasi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah khususnya di pusat hiburan, premis perniagaan, kafe serta lokasi lain yang dikenal pasti sebagai tempat tumpuan penagih dan pengedar dadah,” katanya.






