Ketua Menteri mahu kerjasama semua ahli masyarakat banteras dadah

8 Mar 2024 • 1:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu kerjasama semua ahli masyarakat dalam membanteras dadah demi masa depan anak-anak muda, kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.

Katanya, komitmen dan penglibatan aktif semua pihak dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial amat dituntut dan penting bagi mencapai hasrat Kerajaan untuk merealisasikan Dadah Terkawal 2025.

Dadah Terkawal 2025 merupakan matlamat lima-tahun yang ditetapkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Hajiji berkata kejayaannya memerlukan kerjasama dan kesepaduan gerak kerja daripada semua pihak, khususnya Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri dan Daerah, pemimpin politik dan komuniti, ketua jabatan, AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), komuniti setempat dan NGO.

SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more “Pada 2024, AADK telah menyediakan perancangan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas dan realistik merangkumi semua bidang teras iaitu program rawatan dan pemulihan, pencegahan dan penguatkuasaan, bagi memastikan hala tuju dan strategi utama dalam usaha pengurangan kadar penagih dadah bagi mencapai Dadah Terkawal 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan MTMD Peringkat Negeri Sabah pertama tahun ini di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis.

Hajiji berkata, MTMD berjaya dilaksanakan di 28 daerah pada 2023 termasuk pelantikan 28 Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Sukarelawan Antidadah (SKUAD) Daerah, yang menjadi penggerak komuniti dalam membantu AADK, khususnya dalam Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) serta Program Pencegahan dan Kesedaran Awam.

Beliau menegaskan bahawa kehadiran ke Mesyuarat MTMD adalah wajib dan Pengerusi MTMD Daerah perlu memastikan setiap ketua jabatan di peringkat daerah, hadir dalam setiap mesyuarat seperti dijadualkan.

Hajiji berkata, tahun ini dua kawasan perlu diberi fokus untuk dihijaukan daripada penyalahgunaan dadah, iaitu Merotai (Tawau) dan Tuarid Taud (Keningau), dengan Pegawai Daerah Keningau dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau dilantik sebagai Penyelaras Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di peringkat daerah.

“Saya sangat berharap Pegawai Daerah selaku Pengerusi MTMD Daerah dapat bersama-sama merangka gerak kerja ke arah penghijauan kawasan masing-masing dan memberi penekanan secara serius ke atas usaha pengekalan pencapaian penghijauan KBT ini.

“Manakala bagi dua kawasan lain iaitu Penampang (Kota Kinabalu) dan Balung (Tawau), proses penghijauan akan dilakukan pada 2025 agar isu penagihan dan pelencongan sosial di negeri ini dapat dikawal,” tegasnya.

Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah AADK Sabah, Nani Sikin.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.