Ketua Menteri mahu Malaysia Madani difahami rakyat Sabah

10 Mar 2023 • 1:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu konsep Malaysia Madani difahami dan diperjelaskan sebaiknya kepada rakyat Sabah.

Beliau berkata, konsep itu perlu diperjelaskan secara holistik dan dikupas secara ilmiah oleh pakar-pakar ilmuan pelbagai bidang dengan mengaitkan ciri kepelbagaian yang sinonim dengan masyarakat negara ini, khususnya di Sabah.

“Konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diangkat sebagai satu paradigma baharu untuk negara mengolah hala tuju dasar dan perlaksanaan strategi, yang merentas semua sektor demi kemajuan, kecemerlangan dan kesejahteraan tanah air tercinta,” katanya.

“Usaha untuk menghayati konsep ini amatlah penting sebagai landasan asas kepada kita semua untuk sama-sama mencipta lonjakan baharu yang lebih harmoni, sejahtera, adil dan makmur.

“Justeru, konsep ini amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di negeri ini yang mempunyai lebih 30 etnik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Malaysia Madani: Keharmonian dalam Kepelbagaian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Khamis.

Forum itu dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) bersama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).

Ketua Menteri berkata konsep Membangun Malaysia Madani yang terdiri daripada enam tonggak utama iaitu M (kemampanan), A (kesejahteraan), D (daya cipta), A (hormat), N (keyakinan) dan I (ihsan), bertepatan dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sabah sebaik beliau mengambil alih teraju kerajaan pada September 2020.

Hajiji juga berasa bangga kerana Sabah negeri pertama untuk menganjurkan seminar dan forum berkaitan Malaysia Madani untuk membincangkan serta memperjelaskan idea-idea besar yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata bulan lalu Seminar Membangun Malaysia Madani Naratif Lokal Negeri Sabah dianjurkan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) Sabah, Institut Darul Ehsan (IDE) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di negeri ini.

“Saya percaya akan ada lagi persatuan, badan bukan kerajaan dan institut pengajian tinggi (IPT) termasuk agensi kerajaan, akan menganjurkan seminar, forum dan bengkel yang mengupas lebih lanjut konsep Malaysia Madani demi manfaat ahli-ahli, para pelajar, graduan dan kakitangan kerajaan,” katanya.

Hajiji berkata walaupun Usia sebuah pertubuhan Islam, peranan dan tanggungjawabnya dalam membantu usaha Kerajaan melaksanakan program yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama, harus disokong oleh semua pihak.

Beliau berharap Usia akan terus melangkah maju, bukan sahaja beramal dan berdakwah tetapi juga bergiat aktif dalam pelbagai bidang, membantu Kerajaan dalam mengekalkan keharmonian kaum, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Syabas kepada Usia, teruskan bengkel seperti ini yang memberi manfaat besar kepada semua ahli dan masyarakat setempat,” tambahnya.

Terdahulu, Presiden Usia Datuk Sapawi Ahmad berkata Usia menyokong usaha membangunkan Malaysia Madani kerana ia selari dengan ajaran agama dan juga bertepatan dengan hala tuju Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Hajiji dalam membangunkan Negeri melalui slogan “Sabah Maju Jaya”.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.