Ketua Pegawai Eksekutif TM diiktiraf sebagai CEO Of The Year PC.com Awards 2023

3 Jul 2023 • 5:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ketua Pegawai Eksekutif TM diiktiraf sebagai CEO Of The Year PC.com Awards 2023

zulfadli

03/07/2023 - 17:32

KUALA LUMPUR 3 Julai - Telekom Malaysia Bhd (TM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat telekomunikasi dan teknologi bersepadu paling diyakini di Malaysia, apabila diiktiraf dengan empat anugerah utama di PC.com Awards 2023, baru-baru ini.

Ia termasuk anugerah CEO Of The Year, yang dimenangi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Imri Mokhtar.

Tiga lagi anugerah yang turut dimenangi adalah 'Best Fixed Broadband Service Provider' dimenangi oleh Unifi, Unifi Business memenangi anugerah 'Best Business Fixed Broadband Service Provider' dan 'Best Enterprise Telco' yang diungguli oleh TM One.

Imri berkata, beliau menerima anugerah tersebut bagi pihak 19,000 kakitangan TM di seluruh negara.

"Anugerah ini sebenarnya adalah untuk seluruh warga TM. Kesepaduan dan komitmen anda, benar-benar menjadi inspirasi kepada saya dan kepada semua.

"Saya ingin menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan kami, pelanggan kediaman, pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelanggan perusahaan kami atas kepercayaan kepada TM untuk memberi khidmat kepada anda.

"Tanpa anda semua, kami tidak dapat memperoleh pencapaian yang telah kami kecapi, dan kami tidak dapat mengatasi segala halangan yang kami telah berjaya tempuhi. Sekali lagi, jutaan terima kasih kepada semua," katanya dalam kenyataan media di sini.

Beliau turut berterima kasih kepada PC.com atas pengiktirafan yang diberikan.

Katanya, diundi sebagai pemenang bagi 3 kategori di bawah segmen Telekomunikasi dan Rangkaian, menggambarkan kedudukan mereka sebagai syarikat dengan prestasi terbaik dan menjadi pilihan dalam kalangan pemain industri.

"Kami amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi, kepercayaan dan kesetiaan yang telah diberikan oleh pelanggan-pelanggan kami, ini menjadi asas kepada kejayaan yang kami kecapi setakat ini.

"Kami akan terus berinovasi dan menginsankan teknologi agar kami dapat menyampaikan penawaran yang lebih menarik dan komprehensif dalam perkhidmatan kediaman, mudah alih dan hiburan bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia, ke arah membina Digital Malaysia," katanya. - DagangNews.com