
PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd. Radzi Rahimi bersama isteri, anak serta adik iparnya merupakan antara empat mangsa yang terkorban dalam kejadian sebuah Ford Raptor dihempap pokok tumbang di Jalan Bentong-Raub, hari ini.
Perkhabaran duka itu dikongsikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang merangkap Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat.
“Amat dukacita menerima perkhabaran pemergian Allahyarham Edy, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, bersama isterinya, Nuriani Mohammad Jafri; anak mereka, Muhammad Rizz Hazim serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri yang terkorban dalam satu kemalangan di Bentong.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa mereka, melimpahkan rahmat-Nya serta menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman.
“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga. Semoga dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan empat individu maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Bentong-Raub berhampiran Lentang, Bentong.
Difahamkan, ketika kejadian, kenderaan tersebut dinaiki lima individu termasuk empat sekeluarga.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan empat mangsa meninggal dunia.
“Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, penumpang hadapan wanita bersama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan penumpang belakang yang merupakan lelaki berusia 40 tahun.
“Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang duduk di bahagian belakang pula mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Ketua Pemuda UMNO Maran, isteri, anak maut dihempap pokok appeared first on Kosmo Digital.




![[KEMASKINI] Empat maut, seorang cedera Ford Raptor dihempap pokok tumbang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/Untitled-design-2026-08-03T162813.346.png)

