Ketua Staf Markas Angkatan Bersama didakwa pecah amanah tabung tentera RM5 juta

LocalPolitics
30 Jan 2026 • 9:37 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamed Fauzi Khamis tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan diiringi pegawai SPRM pada Jumaat. Foto: Rosli Talib

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan pecah amanah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) sebanyak RM5 juta, tiga tahun lalu.

Mohamed Fauzi, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

"Faham dengan pertuduhan tersebut, saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan" katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot berwarna biru.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa ketika menjawat Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, telah diamanahkan penguasaan ke atas wang berjumlah RM5 juta milik tabung kebajikan itu di akaun sebuah bank.

Bapa kepada tiga anak berkenaan dituduh melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut dengan menyalahgunakannya iaitu membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, di sini pada 27 November 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Nurul Izzati Sapifee sementara peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar hadir bagi pihak tertuduh.

Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Sebutan kes ditetapkan pada 16 Mac depan.

Sebelum ini, Mohamed Fauzi menyempurnakan upacara pelepasan pasukan Operasi Bantuan Kemanusiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar susulan gempa bumi yang berlaku pada 28 Mac tahun lalu.