
Ketua Staf Markas ATM Azhan Md Othman Dilantik Panglima Tentera Darat ke-31
Kementerian Pertahanan hari ini mengumumkan pelantikan Leftenan Jeneral Dato’ Azhan Hj Md Othman sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Menurut Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.
Beliau berkata, pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Tentera Darat Malaysia serta meningkatkan keupayaan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memenuhi tuntutan pertahanan negara pada masa kini dan akan datang.
“Namun demikian, pelaksanaan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 mengenai pelantikan Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Darat, sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan.
“Beliau telah diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang telah dilaporkan melibatkan beliau.
“Pemangkuan tugas Panglima Angkatan Tentera akan dilaksanakan oleh Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain, Panglima Tentera Laut sebagaimana pengumuman yang telah dibuat pada 27 Disember 2025,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa langkah-langkah yang diambil ini bertujuan menjunjung kedaulatan undang-undang, memelihara integriti ATM serta memastikan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara terus dilaksanakan dengan berkesan.


Sumber: Bernama TV
The post Ketua Staf Markas ATM Azhan Md Othman Dilantik Panglima Tentera Darat ke-31 appeared first on Siakap Keli.
