
Ketua Tentera Libya Maut Dalam Nahas Pesawat Di Turkiye
ANKARA — Ketua Angkatan Tentera Libya, Mohammed Ali Ahmed al-Haddad bersama empat pegawai kanan tentera lain maut selepas pesawat perniagaan yang dinaiki terhempas berhampiran ibu negara Turkiye, lapor AFP.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya selepas bangkai pesawat Falcon 50 itu ditemui oleh pasukan keselamatan Turkiye di daerah Haymana berhampiran Ankara.
Sementara itu, Perdana Menteri Libya, Abdulhamid Dbeibah dalam satu kenyataan menzahirkan rasa duka di atas perkhabaran berkenaan.
“Dengan rasa dukacita yang amat mendalam dan kesedihan yang besar, kami menerima berita kematian Ketua Turus Angkatan Tentera Libya, Leftenan Jeneral Mohammed al-Haddad,” maklum kenyataan itu.
Sebelum ini, Haddad mengadakan pertemuan di Ankara dengan Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler, serta rakan sejawatannya dari Turkiye, Selcuk Bayraktaroglu semalam sebelum berlepas pulang ke Tripoli.
Yerlikaya berkata di X, bahawa pesawat Haddad berlepas dari Lapangan Terbang Esenboga, Ankara pada jam 5.10 petang waktu tempatan, dan terputus hubungan 42 minit kemudian.
Pesawat berkenaan mengeluarkan notifikasi pendaratan kecemasan berhampiran Haymana, kira-kira 74 kilometer dari Ankara.
Bagaimanapun, hubungan tidak dapat disambung semula tambahnya.
Difahamkan, pesawat berkenaan membawa lapan penumpang termasuk Haddad, empat anggota rombongannya dan tiga anak kapal.
Susulan kejadian, Menteri Kehakiman Turkiye, Yilmaz Tunc, berkata Pejabat Ketua Pendakwa Raya Ankara telah melancarkan satu siasatan terhadap insiden berkenaan.
Beberapa media Turkiye menyiarkan imej yang menunjukkan langit diterangi letupan tidak jauh dari lokasi pesawat menghantar isyarat terakhir.
Seorang penduduk tempatan di Haymana, Burhan Cicek, mengimbas detik nahas itu.
“Saya dengar bunyi letupan yang kuat. Ia seperti bom,” katanya kepada AFP.
Untuk makluman, Haddad memegang jawatan Ketua Turus Angkatan Tentera sejak Ogos 2020 dan dilantik oleh perdana menteri ketika itu, Fayez al-Sarraj.
Sumber: AFP via France24
The post Ketua Tentera Libya Maut Dalam Nahas Pesawat Di Turkiye appeared first on Siakap Keli.



