
KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Cawangan Pinggiran Sri Baduri di bawah Bahagian Damansara, Datuk Ir Abdul Aziz Abdullah meletakkan jawatan dalam parti berkuat kuasa 21 September lalu susulan kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan.
Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat kerana beliau tidak dapat menerima cara kepimpinan UMNO di Negeri Sembilan mengendalikan isu membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dalam satu kenyataan video, beliau berkata perkembangan di Negeri Sembilan menimbulkan kemarahan dan kesedihan kepadanya, khususnya berkaitan layanan terhadap Tuanku Muhriz.
“Mengapa saya memilih untuk meletakkan jawatan? Kerana saya tidak mampu menanggung kemarahan dan kesedihan terhadap sikap pemimpin UMNO hari ini di Negeri Sembilan yang begitu tidak menghormati Tuanku Muhriz,” katanya.
Klik pautan untuk lihat video : https://www.facebook.com/reel/1559434902075689
Abdul Aziz berkata isu itu turut dekat dengan dirinya kerana kini menetap di Negeri Sembilan selain mempunyai pertalian keluarga dengan negeri berkenaan.
“Ibu saya berasal dari Johor, tetapi ayah saya anak jati Negeri Sembilan,” katanya.
Menurutnya, perkara itu antara sebab beliau mengikuti rapat perkembangan kemelut berkenaan, terutama hubungan yang semakin tegang antara kerajaan negeri dan istana.
“Saya tidak boleh menerima sikap yang ditunjukkan Menteri Besar, anggota Exco dan UMNO di Negeri Sembilan. Saya tidak boleh terima,” katanya.
Peletakan jawatan itu berlaku ketika pertikaian berhubung kedudukan Tuanku Muhriz dan status Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) masih berlarutan.
Pada 20 September, Istana Besar Seri Menanti mengumumkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan anggota Exco negeri berkuat kuasa serta-merta selepas mendapati mereka melanggar sumpah jawatan susulan tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September.
Istana turut menyatakan anggota Exco, selain Menteri Besar, memegang jawatan selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Ismail Lasim pada 21 September berkata anggota Exco sedia ada kekal memegang jawatan dan boleh meneruskan tugas, berdasarkan tafsirannya terhadap peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Ismail turut menyatakan beliau tidak pernah dimaklumkan atau memberi nasihat berhubung penamatan jawatan anggota Exco, serta mendakwa tindakan berkenaan tanpa nasihat atau permintaannya tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Tuanku Muhriz di Istana Negeri Sembilan pada 21 September susulan perkembangan mengenai status Exco negeri.
Bagi Abdul Aziz, perkembangan berkenaan menjadi faktor utama beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan jawatan dalam UMNO.
Beliau menegaskan pendirian terhadap cara kepimpinan UMNO di Negeri Sembilan menangani isu membabitkan Tuanku Muhriz merupakan sebab utama peletakan jawatannya. - Getaran, 22 September 2026






