
SEREMBAN - Kemelut pentadbiran di Negeri Sembilan semakin memburuk, tanpa sebarang tanda menunjukkan ia bakal reda dalam masa terdekat.
Terbaru, kerajaan negeri hari ini menggantung khidmat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan hari ini.
Susulan penggantungan itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali akan mengambil alih tugas SUK sehingga pelantikan penyandang baharu dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Bagi urusan perundangan pula, kerajaan negeri akan mendapatkan khidmat peguam Fahmi Adilah sementara menunggu pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu oleh Jabatan Peguam Negara.
Ismail berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan, dengan notis penggantungan Zafir dihantar kepada KSN dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), manakala penggantungan Muzalmah dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Namun, tindakan kerajaan negeri itu menimbulkan persoalan dari sudut bidang kuasa pelantikan dan perkhidmatan kedua-dua pegawai berkenaan.
Sumber berkata, jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri adalah antara jawatan yang diperuntukkan secara khusus dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, bersama Pegawai Kewangan Negeri.
Menurut sumber, SUK tertakluk kepada penyeliaan KSN, manakala Penasihat Undang-Undang Negeri berada di bawah bidang kuasa Peguam Negara.
“MB tidak mempunyai kuasa untuk menggantung atau memecat mereka. Sebaliknya, MB hanya boleh meminta KSN atau Peguam Negara supaya pegawai berkenaan digantikan,” katanya.
Dari sudut perkhidmatan awam, Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan meletakkan SUK dan Pegawai Kewangan Negeri dalam perkhidmatan awam am Persekutuan, termasuk Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).
Penasihat Undang-Undang Negeri pula merupakan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Perkara 135(1) Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan perlindungan kepada penjawat awam daripada tindakan buang kerja atau turun pangkat oleh pihak berkuasa yang tidak mempunyai kuasa pelantikan sepadan.
Sementara itu, Perkara 138 dan 139 memperuntukkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Sumber berkata, SPA mempunyai kuasa pelantikan bagi SUK manakala Penasihat Undang-Undang Negeri dilantik melalui SPKP.
Atas dasar itu, sumber berpendapat sebarang tindakan tatatertib termasuk penggantungan atau penamatan perkhidmatan kedua-dua pegawai berkenaan adalah dalam bidang kuasa suruhanjaya Persekutuan terbabit, bukannya kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Ismail menegaskan semua anggota MMKN masih menjalankan tugas seperti biasa.
“Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berfungsi seperti biasa dan tanggungjawab kepada rakyat akan terus dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Ahad lalu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menarik balik pelantikan semua anggota MMKN berkuat kuasa serta-merta.
Menurut pihak istana, keputusan itu dibuat susulan tindakan dan kenyataan anggota Exco pada 15 September yang didapati melanggar sumpah jawatan mereka.
Bagaimanapun, Ismail menolak keputusan berkenaan dan menegaskan anggota Exco masih kekal dalam jawatan.
Beliau turut berpendirian bahawa tindakan menamatkan atau menggugurkan seseorang anggota Exco tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar adalah bercanggah dengan undang-undang dan tidak mempunyai kesan dari segi perundangan.
Dengan perkembangan terbaharu itu, pertikaian yang pada awalnya tertumpu kepada kedudukan anggota MMKN kini turut membabitkan struktur pentadbiran dan perundangan tertinggi negeri.
Situasi berkenaan mencetuskan pertikaian mengenai kesahan keputusan dibuat membabitkan pihak istana, MMKN serta bidang kuasa institusi yang terlibat dalam pentadbiran Negeri Sembilan. - Getaran, 22 September 2026






