Ketua UMNO Sepang nafi lukakan perasaan penganut agama Kristian

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ketua UMNO Sepang nafi lukakan perasaan penganut agama Kristian

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sepang Datuk Noorazli Said didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan perkataan yang melukakan perasaan penganut agama Kristian semasa berucap di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Bagaimanapun Noorazli, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa semasa Perhimpuan Agung UMNO 2026 telah dengan sengaja melukakan perasaan penganut agama itu yang merupakan seorang wanita apabila melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran wanita itu yang mengaitkan paderi Katolik dan biarawati.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dewan Merdeka, World Trade Centre, Jalan Tun Ismail di sini pukul 11.20 pagi 12 September lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan sekitar RM4,000 hingga RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan Noorazli diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 November untuk sebutan kes.

Sebelum ini Noorazli menjadi kontroversi membuat jenaka mengaitkan paderi dan biarawati Kristian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO, bagi menegaskan pentingnya kebijaksanaan politik, namun kenyataannya mendapat kritikan banyak pihak. – KOSMO! ONLINE

The post Ketua UMNO Sepang nafi lukakan perasaan penganut agama Kristian appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved