Ketua WHO terkejut Israel bedil ambulans berdekatan hospital Al-Shifa di Gaza

4 Nov 2023 • 10:06 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengaku ‘amat terkejut’ dengan serangan maut dilancarkan Israel ke atas ambulans berhampiran hospital terbesar di Gaza semalam.

Tedros berkata, dia terperanjat dengan laporan serangan ke atas ambulans yang memindahkan pesakit berhampiran hospital Al-Shifa di Gaza, sehingga mengakibatkan ematian, kecederaan dan kerosakan.

“Kami mengulangi: pesakit, pekerja kesihatan, kemudahan dan ambulans mesti dilindungi pada setiap masa. Sentiasa,” katanya menerusi ciapan di laman X.

Seorang wartawan AFP dilaporkan menyaksikan beberapa mayat di sebelah ambulans yang rosak akibat bedilan di luar hospital Al-Shifa, yang kini sesak dengan orang awam yang mencari tempat berlindung daripada serangan berterusan oleh Israel.

Kerajaan Hamas berkata, tentera Israel menyerang “konvoi ambulans, yang sedang mengangkut mangsa yang cedera” dari Gaza City ke arah Rafah di selatan wilayah itu.

Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan "beberapa rakyat terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan Israel di pintu masuk hospital Al-Shifa".

Penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk wilayah Palestin, Lynn Hastings turut meluahkan kemarahannya terhadap serangan kejam itu yang dilakukan ketika pesakit dipindahkan untuk mencari keselamatan.

Kira-kira 16 hospital di seluruh Gaza tidak lagi berfungsi disebabkan kerosakan akibat serangan dan kekurangan bahan api.

Lebih 23,500 cedera di seluruh Gaza dalam konflik yang tercetus sejak 7 Oktober lalu, manakala jumlah kematian terkini melebihi 9,200.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa serangan udara itu dilancarkan ke atas ambulans yang dikenal pasti oleh pasukannya digunakan oleh pejuang Hamas.

“Beberapa pejuang Hamas terbunuh dalam serangan itu,” katanya. – 4 November, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved