Keuntungan bersih Crescendo susut 88% kepada RM16.3 juta pada 2QFY2026

30/09/2025 - 12:00
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 30 Sept – Pemaju hartanah yang berpangkalan di Johor Crescendo Corporation Bhd merekodkan keuntungan bersih RM16.31 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2025 (2QFY2026).
Jumlah itu merosot sebanyak 88% berbanding RM140.84 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan kumpulan turut merosot 75.4% kepada RM76.1 juta daripada RM321.46 juta sebelumnya.
Pemaju hartanah itu berkata, penurunan hasil disebabkan tiada keuntungan jualan tanah yang menyokong prestasi tahun kewangan sebelumnya.
“Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, keuntungan bersih susut 94.5% kepada RM23.42 juta berbanding RM422.44 juta pada tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah hasil pula jatuh 82.9% kepada RM145.32 juta daripada RM848.73 juta,” kata Crescendo dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Seiring pengumuman itu, Crescendo mengisytiharkan dividen interim satu sen sesaham yang akan dibayar pada 13 November ini.
Crescendo berkata, syarikat akan meneruskan pendekatan berhemah dengan memanfaatkan bank tanah strategik seluas kira-kira 2,600 ekar di Johor Bahru untuk membangunkan projek mengikut permintaan pasaran.
“Kumpulan akan menumpukan kepada pengukuhan daya tahan, pengoptimuman pengurusan kos serta pembangunan yang responsif kepada pasaran,” jelas syarikat itu.
Selain itu, Crescendo berkata, pihaknya terus memantau cabaran seperti kenaikan gaji minimum, rasionalisasi subsidi bahan api dan elektrik, serta peluasan cukai yang dijangka menambah tekanan kos.
Kumpulan kini terlibat dalam pelbagai pembangunan kediaman dan perniagaan termasuk Bandar Cemerlang, Residensi Senyum, Desa Cemerlang, Taman Perindustrian Cemerlang dan Taman Dato’ Chellam.
Sebelum ini, keuntungan Crescendo melonjak pada FY2025 hasil penjualan tanah pusat data di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang melalui anak syarikat milik penuh, Panoramic Industrial Development Sdn Bhd (PID).
Sepanjang tahun kewangan itu, PID menyelesaikan lima perjanjian pelupusan tanah pegangan bebas seluas 128.41 ekar dengan nilai tunai keseluruhan RM677.43 juta.
Selain itu, PID turut menandatangani tiga lagi perjanjian pelupusan 61.39 ekar tanah bernilai RM355.77 juta, termasuk satu urus niaga bernilai RM115.88 juta yang dimuktamadkan pada April 2025.
Antara pembeli utama tanah tersebut ialah Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd, Nanda Digital Sdn Bhd dan Data Cloud Innovation Sdn Bhd. - DagangNews.com
standard


