KUALA LUMPUR 27 Nov - Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd (PDB) merosot 22.3% kepada RM218.52 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), berbanding RM281.25 juta setahun sebelumnya, berikutan peningkatan kos produk dan perolehan bekalan yang menekan margin keuntungan.
Pendapatan bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat 63% kepada RM15.52 bilion daripada RM9.53 bilion, terutamanya didorong kenaikan harga jualan purata.
PDB dalam kenyataan hari ini berkata, meskipun asas perniagaannya kekal kukuh, dua faktor utama menjejaskan margin keuntungan sepanjang suku berkenaan, iaitu kerja penyelenggaraan utama kilang penapisan minyak di Melaka dan kenaikan mendadak harga produk petroleum.
Kerja penyelenggaraan yang dijalankan setiap empat hingga lima tahun itu memerlukan PDB mendapatkan bekalan alternatif sebelum penutupan sementara kilang berkenaan bagi memastikan bekalan kepada pelanggan tidak terganggu, namun kos produk import yang lebih tinggi menjejaskan margin keuntungan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, kerja penyelenggaraan kilang berkenaan berjalan lancar dan operasi kilang kembali seperti dijadualkan, dengan kesinambungan bekalan kepada pelanggan runcit dan komersial berjaya dikekalkan.
Beliau berkata, pertumbuhan perniagaan bukan bahan api serta peningkatan jumlah jualan runcit turut membantu mengurangkan kesan terhadap keuntungan, selaras dengan matlamat jangka panjang kumpulan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.
Kenaikan harga bahan api tekan margin komersial
Faktor kedua ialah kenaikan mendadak harga produk petroleum, khususnya bahan api penerbangan dan diesel, yang menjejaskan margin keuntungan segmen komersial buat sementara waktu.
PDB menjangkakan margin keuntungan bertambah baik apabila harga pasaran menurun dan kos pembelian produk susut lebih awal daripada harga jualan, manakala jumlah jualan keseluruhan bagi suku ketiga lebih rendah berbanding setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan penyusutan 11% dalam jumlah jualan komersial.
Keuntungan bersih sembilan bulan meningkat 5.8%
Meskipun prestasi suku ketiga lebih lemah, keuntungan bersih PDB bagi sembilan bulan pertama FY2026 meningkat 5.8% kepada RM888.73 juta daripada RM840.28 juta, manakala pendapatan melonjak 54% kepada RM42.76 bilion.
Pertumbuhan jumlah jualan runcit sebanyak 6% sepanjang sembilan bulan pertama didorong peningkatan jualan petrol serta diesel susulan pertambahan pelanggan SmartPay, manakala perniagaan bukan bahan api terus berkembang disokong peningkatan jualan barangan di PETRONAS Shop.
Melangkah ke hadapan, PDB menjangkakan harga bahan api global dan kos perolehan bekalan kekal tidak menentu berikutan perkembangan geopolitik, namun perbelanjaan pengguna, aktiviti komersial dan pelancongan domestik dijangka terus menyokong permintaan.
PDB turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham berjumlah RM248.36 juta, yang akan dibayar pada 24 Disember 2026 dengan tarikh kelayakan pada 14 Disember 2026. - DagangNews.com






