hamden27/11/2026 - 16:58 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Nov - Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd merosot 47.9 peratus kepada RM67.35 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S3 FY26), berbanding RM129.23 juta setahun sebelumnya, susulan peningkatan kos overhed, peruntukan rosot nilai dan penurunan pendapatan bersih.
Bank Islam turut mengisytiharkan dividen interim tunai sebanyak 8.24 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, berjumlah RM186.8 juta, yang akan dibayar pada 8 Januari 2027. Tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 15 Disember 2026.
Pendapatan bersih susut 0.8 peratus tahun ke tahun kepada RM680.72 juta apabila pendapatan bukan berasaskan dana merosot 51.2 peratus kepada RM78 juta, terutamanya disebabkan kerugian bersih daripada penjualan sekuriti, pendapatan pertukaran asing yang lebih rendah serta kerugian bersih daripada penilaian semula aset kewangan pada nilai saksama melalui untung atau rugi.
Keadaan itu sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan pendapatan bersih berasaskan dana serta pendapatan fi dan komisen masing-masing sebanyak RM76.6 juta dan RM13.3 juta, menurut Bank Islam dalam satu pengumuman.
Jumlah kos overhed meningkat 13.5 peratus tahun ke tahun, didorong oleh perbelanjaan kakitangan, am dan pemasaran yang lebih tinggi. Peruntukan rosot nilai bersih bagi pembiayaan dan pendahuluan turut meningkat kepada RM47.1 juta berbanding RM30 juta.
Keuntungan sebelum zakat dan cukai merosot 48%
Penurunan pendapatan bukan berasaskan dana menyebabkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) bagi suku berkenaan merosot 48 peratus kepada RM93.97 juta daripada RM180.82 juta setahun lalu, meskipun hasil meningkat 1.5 peratus kepada RM1.29 bilion.
Bagi tempoh sembilan bulan FY26, keuntungan bersih kumpulan merosot 15.9 peratus kepada RM321.5 juta daripada RM382.18 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu dicatatkan meskipun Bank Islam merekodkan peningkatan pendapatan bersih sebanyak 3.2 peratus kepada RM2.11 bilion, disokong oleh pendapatan bersih berasaskan dana serta pendapatan fi dan komisen yang lebih tinggi.
Hasil meningkat 3.3 peratus kepada RM3.91 bilion dalam tempoh berkenaan berbanding RM3.78 bilion setahun sebelumnya, manakala PBZT merosot 17 peratus kepada RM431.25 juta daripada RM519.7 juta.
Kumpulan berkata prestasi bagi tempoh sembilan bulan itu terjejas akibat peningkatan jumlah kos overhed, peruntukan rosot nilai bersih bagi pembiayaan serta kos kewangan yang lebih tinggi, sekali gus mengimbangi sebahagian pertumbuhan pendapatan bersih.
Keuntungan lebih rendah daripada penjualan sekuriti, pendapatan pertukaran asing yang lebih rendah serta kerugian daripada penilaian semula aset kewangan turut memberi kesan kepada prestasi kumpulan dalam tempoh berkenaan.
Melangkah ke hadapan, Bank Islam berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan margin dan pulangan terlaras risiko, mempelbagaikan sumber pendapatan, mengekalkan kualiti aset yang berhemat serta mempercepat inisiatif automasi dan pendigitalan bagi memperkukuh kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
Setakat 30 September 2026, jumlah aset kumpulan meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM106.6 bilion, manakala pembiayaan kasar berkembang lapan peratus kepada RM79.3 bilion. - DagangNews.com





