Keuntungan Hup Seng Industries bagi 1HFY23 dalam jangkaan, MIDF Research kekalkan unjuran pendapatan

Business & Finance
10 Aug 2023 • 11:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan Hup Seng Industries bagi 1HFY23 dalam jangkaan, MIDF Research kekalkan unjuran pendapatan

diyana

10/08/2023 - 11:11

KUALA LUMPUR 10 Ogos - MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan Hup Seng Industries Berhad memandangkan keuntungan selepas cukai (PAT) bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) adalah dalam jangkaan.

Firma penyelidikan itu berkata PAT sebanyak RM18.4 juta pada 1HFY23 merangkumi 52% daripada anggaran tahun penuhnya namun melebihi konsensus pada 59%.

Katanya, margin kumpulan lebih baik pada tempoh berkenaan didorong oleh penurunan kos bahan mentah.

“Margin keuntungan kasar meningkat 6.1 mata peratusan tahun ke tahun (YoY) kepada 28.6% pada 1HFY23, berikutan harga jualan yang lebih tinggi, di samping pengurangan bahan input utama, termasuk minyak sawit mentah dan gandum. Hasilnya, pendapatan teras meningkat 87.4% YoY kepada RM18.7 juta,” tambahnya.

Kenanga Research berkata ia terus menyukai Hup Seng Industries, disokong oleh (1) permintaan yang agak stabil untuk produknya kerana jenamanya terkenal, (2) pembayaran dividen yang konsisten (lebih 70% bagi lapan tahun lalu), dan (3) kedudukan tunai bersih kukuh sebanyak RM72.3 juta pada 2QFY23.

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan margin keuntungan menjadi normal, disokong oleh harga komoditi global untuk gandum dan minyak sawit mentah yang kembali normal.

“Walaupun harga gula kekal tinggi, kami telah memerhatikan pemulihan daripada paras tertinggi dua tahun mereka,” tambahnya.

Oleh itu, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 90 sen sesaham daripada 88 sen.

Kenanga Research berkata saham Hup Seng Industries kini didagangkan pada nisbah harga-pendapatan (PER) FY24 yang menarik sebanyak 10.7 kali, iaitu di bawah PER min lima tahun terdahulunya sebanyak 18.6 kali dan PER sektor keperluan pengguna di bawah liputan firma tersebut (tidak termasuk QL dan Nestle), iaitu 17.9 kali.

Pada waktu penulisan, saham Hup Seng Industries menokok 3 sen atau 4.6% kepada 68.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM548 juta. - DagangNews.com