Kenanga Research optimis terhadap prospek Dialog dengan jangkaan margin beransur pulih

Business & Finance
9 Aug 2023 • 10:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenanga Research optimis terhadap prospek Dialog dengan jangkaan margin beransur pulih

diyana

09/08/2023 - 10:35

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kenanga Research optimis terhadap prospek Dialog Group Berhad dengan jangkaan margin beransur-ansur pulih, sementara mengekalkan unjuran pendapatan, saranan ‘outperform’ dan harga sasaran RM3.10.

Susulan pertemuan dengan kumpulan itu, firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa optimisme tersebut disokong oleh (i) perniagaan ladang tangkinya yang dirangsang oleh perniagaan baharu daripada pengimport Australia dan New Zealand, (ii) margin hiliran dijangka kekal stabil dan bertambah baik secara beransur-ansur daripada tahun kewangan 2025 (FY25), dan (iii) rancangan pengembangan utama kekal di landasan.

“Kami mengekalkan unjuran memandangkan kami telah menjangkakan pemulihan beransur-ansur dalam margin pendapatan sebelum faedah dan cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), serta purata kadar penggunaan aktiviti pertengahan sebanyak 90%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut firma tersebut, perniagaan baharu terminal tangki aktiviti pertengahan Dialog berjalan lancar dengan kadar penggunaan melebihi 90%, di mana lonjakan dalam permintaan sebahagiannya didorong oleh pengimport minyak Australia dan New Zealand yang menggunakan terminalnya di Pengerang.

Sementara itu, margin hiliran dijangka beransur-ansur meningkat memandangkan ia telah stabil sepanjang dua suku sebelum ini, terutamanya disebabkan oleh penyiapan progresif kontrak terdahulu yang tidak mengambil kira kos yang lebih tinggi daripada persekitaran inflasi semasa.

Di samping itu, pelan pengembangan bercita-cita tinggi Dialog di Pengerang dan Tg Langsat kekal di landasan yang betul, disokong oleh: (i) kemudahan minyak dan gas baharu di Kompleks Tenaga Pengerang (PEC), dan (ii) daya tarikan dalam permintaan untuk penyimpanan produk mampan.

Menurut firma itu, kumpulan tersebut sedang berunding dengan pelanggan untuk membuat perjanjian jangka panjang (sekurang-kurangnya 10 tahun) untuk penyimpanan khusus di Pengerang.

“Oleh itu, kami percaya akan ada potensi minat daripada pelabur baharu di PEC. Ia termasuk ChemOne yang berpangkalan di Singapura dan Rongsheng Petrochemical yang berpangkalan di China,” tambahnya.

Kenanga Research berkata kumpulan itu juga sedang meneroka kapasiti yang lebih mampan, di mana ia berkemungkinan memulakan semula operasi terminal sedia ada di Tg Langsat Fasa 1 dan 2 bagi memenuhi keperluan bahan api mampan.

“Kami menyukai Dialog kerana: (i) pendapatan bukan kitarannya yang berdaya tahan dengan prospek pertumbuhan berbilang tahun daripada pengembangan kapasiti masa hadapan, (ii) aktif mempelbagaikan aset pengeluaran huluan membolehkan kumpulan itu memanfaatkan kenaikan harga minyak, dan (iii) pendapatan jangka pendek daripada Terminal Tanjung Langsat Fasa 3 yang disasarkan siap menjelang akhir 2024,” katanya.

Pada waktu penulisan, saham Dialog turun 1 sen atau 0.5% kepada RM2.21 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM12.5 bilion. - DagangNews.com