sarah27/11/2026 - 18:21 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Nov - AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) mencatatkan peningkatan pendapatan sewa sebanyak 5% kepada RM65.82 juta bagi sembilan bulan pertama 2026 berbanding RM62.66 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu disokong prestasi segmen perhotelan, perindustrian dan pejabat, termasuk peningkatan pendapatan sewa daripada Vista Tower serta sumbangan dua aset baharu.
Pendapatan hartanah bersih pula meningkat 5.5% kepada RM42.07 juta meskipun perbelanjaan hartanah meningkat 4.2% kepada RM23.75 juta susulan kenaikan cukai taksiran, kos pembaikan dan pengurusan hartanah.
Setakat 30 Jun 2026, AmanahRaya REIT memiliki portfolio 13 hartanah dengan nilai saksama keseluruhan kira-kira RM1.32 bilion, merangkumi sektor pejabat, peruncitan, pendidikan, perindustrian, kesejahteraan dan perhotelan.
Dua hartanah jana pendapatan baharu RM2.32 juta
AmanahRaya REIT dalam kenyataan hari ini berkata, hartanah perindustrian Meta Deco di Telok Panglima Garang, Selangor dan Serasi Padi Hotel, yang dahulunya dikenali sebagai Holiday Villa Alor Setar, Kedah, menyumbang pendapatan baharu berjumlah RM2.32 juta.
Meta Deco yang mula menjana pendapatan sewa pada Disember 2025 memberikan sumbangan penuh bagi tempoh sembilan bulan berkenaan, manakala Serasi Padi Hotel mula menyumbang pendapatan sewa pada Jun 2026.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd, Ahmad Jefri Abdul Rashid berkata, prestasi sembilan bulan pertama tahun ini menunjukkan strategi memperbaharui portfolio hartanahnya membuahkan hasil.
Menurutnya, kedua-dua hartanah berkenaan kini menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan berulang AmanahRaya REIT, dengan segmen perindustrian dan perhotelan mencatatkan pertumbuhan ketara tahun ini.
Lupus aset lama, peroleh hartanah berkualiti tinggi
Melangkah ke hadapan, pihak pengurusan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperbaharui portfolio hartanah, meningkatkan kadar penyewaan dan mengoptimumkan kos operasi.
Usaha sedang dijalankan untuk menggiatkan semula Enterprise Building II, yang dahulunya dikenali sebagai Contraves di Cyberjaya, termasuk menarik penyewa baharu.
Pada masa sama, langkah strategik telah diambil untuk melupuskan aset lama, dengan hasil pelupusan akan digunakan bagi memperoleh hartanah baharu yang berkualiti lebih tinggi.
Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026, pendapatan bersih AmanahRaya REIT meningkat 14.5% kepada RM8.82 juta daripada RM7.71 juta, manakala nilai aset bersih seunit meningkat kepada RM1.2632 berbanding RM1.2517 pada 31 Disember 2025. - DagangNews.com






