Kewangan Pulau Pinang kekal stabil, tiada keperluan bentang semula belanjawan

LocalBusiness & Finance
30 Apr 2026 • 11:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kewangan Pulau Pinang kekal stabil, tiada keperluan bentang semula belanjawan
Kon Yeow (depan, dua dari kanan) merasmikan penamaan semula Jalan Persiaran Pantai Sinaran kepada Persiaran Chin Fung Kee pada Khamis.

GEORGE TOWN- Kedudukan kewangan Pulau Pinang masih berada dalam keadaan stabil dan tidak memerlukan pembentangan semula belanjawan pada ketika ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selagi perbelanjaan dapat dikawal dan hasil dikutip seperti yang diramalkan, perkara itu tidak perlu dilaksanakan.

Menurutnya, langkah penjimatan yang disarankan kepada semua agensi dan jabatan kerajaan tidak menuntut perubahan besar terhadap bajet sedia ada sebaliknya memberi tumpuan kepada kawalan kos dan perancangan semula pelaksanaan projek.

“Jika berjimat, tidak perlu bentang semula belanjawan. Yang membimbangkan adalah jika perbelanjaan bertambah.

"Setakat ini, kedudukan kewangan negeri masih dalam keadaan lebihan (surplus) dan sihat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penamaan semula Jalan Persiaran Pantai Sinaran kepada Persiaran Chin Fung Kee di sini pada Khamis.

Tambah Kon Yeow, usaha penjimatan yang dilaksanakan mampu mengurangkan defisit atau meningkatkan lebihan kewangan negeri tanpa perlu menambah perbelanjaan baharu.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut mengambil pendekatan menjadualkan semula projek-projek yang belum ditawarkan termasuk kemungkinan melambatkan pelaksanaannya berikutan keadaan semasa industri pembinaan.

“Ketika ini, kontraktor juga berdepan kesukaran untuk membida projek disebabkan peningkatan kos.

"Jadi, penjadualan semula ini adalah langkah untuk menunggu keadaan lebih stabil sebelum kerja ditawarkan. Bagaimanapun, projek yang telah berjalan akan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan," ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, terdapat permintaan daripada kontraktor berkaitan kenaikan kos khususnya melibatkan harga diesel.

"Sehubungan itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersetuju untuk berkongsi beban kos tersebut.

“PDC akan berunding dengan kontraktor yang terlibat dan kita telah membuat keputusan untuk sama-sama menanggung sebahagian kenaikan kos diesel bagi meringankan beban mereka,” ujarnya.

Tegasnya, selagi kawalan perbelanjaan dapat dilaksanakan dengan baik dan hasil negeri kekal seperti jangkaan, tiada keperluan untuk membentangkan bajet tambahan buat masa ini.

Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan diarahkan supaya berjimat cermat dengan berbelanja secara sederhana sebagai langkah mengurangkan tekanan kewangan susulan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada Malaysia.

Aarahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan perbelanjaan kerajaan lebih berhemah.