
MEMBAKUT: Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman berkenan menyempurnakan perasmian Sekolah Rendah Integrasi Haji Khalia Khan (SRIHKK) yang diadakan di pekarangan Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan, di sini, Ahad lepas.
Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan sumbangan Pengurusan Sekolah Rendah Integrasi (SRI) 2025 kepada SRIHKK berjumlah RM70,000 dan RM240,000 sumbangan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) kepada Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan.
Beliau juga berkesempatan berbuka puasa dan solat terawih bersama masyarakat di majlis yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama Islam Datuk Dr Ariffin Arif.
Musa dalam ucapannya berkata, kewujudan SRIHKK membuktikan betapa serius dan komitednya pihak berkuasa dalam membantu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu duniawi dan ukhrawi.
Tegasnya, usaha dan keikhlasan semua pihak itu merupakan elemen penting untuk mengangkat martabat pendidikan Islam kepada suatu tahap yang lebih tinggi.
Beliau pada masa sama turut merasa bangga kerana SRIHKK menjadi sekolah kelima di Sabah, seterusnya ke-230 di Malaysia yang menerima status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
“Kejayaan ini bukan datang dengan mudah. Ia adalah hasil usaha dan dedikasi semua pihak – guru-guru, ibu bapa, pentadbir sekolah serta murid-murid sendiri.
“Guru seharusnya menumpukan fokus untuk mendidik anak bangsa dengan penuh keikhlasan dan kesabaran, manakala pelajar pula harus menyematkan azam bahawa ilmu diperolehi bukan sekadar untuk kejayaan dunia, tetapi juga bekalan menuju akhirat.
“Saya teringat akan pesan Imam Al-Ghazali, ‘Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini’. Generasi muda yang berilmu, beriman, dan beramal akan menjadi pemimpin pada masa akan datang,” katanya.
Hadir sama Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @Aziz Jaafar, Pegawai Eksekutif Muis Ramlan Ag Ali serta pengasas SRIHKK dan Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan Datuk Ghulam Hassan Yacob Khan.

