Keyfield beli bot penginapan DP2 berharga RM76 juta daripada Carimin Acacia Offshore

LocalBusiness & Finance
29 Aug 2025 • 6:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keyfield beli bot penginapan DP2 berharga RM76 juta daripada Carimin Acacia Offshore

image is not available

29/08/2025 - 18:05

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Keyfield International Berhad membeli sebuah bot penginapan kerja kedudukan dinamik (DP2 AWB) berusia sembilan tahun berharga RM76 juta daripada Carimin Acacia Offshore Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Carimin Petroleum Berhad.

Pengambilalihan yang dilakukan Keyfield Marine Sdn Bhd itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Carimin pada mesyuarat agung yang akan datang.

Acacia merupakan kapal berdaftar di Malaysia dengan rekod operasi selama sembilan tahun yang dilengkapi dengan spesifikasi yang diperlukan untuk memenuhi keperluan tender domestik dan boleh digerakkan untuk operasi dalam jangka masa yang singkat.

Sebagai sebuah kapal DP2 AWB juga boleh digunakan untuk menyokong operasi pelanggan di persekitaran yang lebih mencabar seperti kawasan dasar laut yang padat, perairan dalam dan keadaan cuaca yang berubah-ubah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang juga Pengarah Eksekutif Keyfield, Datuk Darren Kee berkata, pengambilalihan itu akan mengukuhkan kedudukan mereka sebagai penyedia bot penginapan luar pesisir utama di Malaysia dengan menambah kapasiti dan memperbaiki landskap persaingan

Beliau berkata, pihaknya menambah sebuah DP2 AWB kepada armada mereka dan memperluas penglibatan kumpulan dalam aktiviti teras.

"Langkah ini dijangka memberi kesan positif terhadap prospek jangka sederhana dan panjang Keyfield kerana kami menambah kapal dengan spesifikasi lebih tinggi yang boleh memenuhi keperluan projek penyewaan kapal yang memerlukan spesifikasi lebih ketat berbanding dengan Keyfield Lestari, yang baru sahaja dilepaskan.

"Penambahan bot Acacia ke dalam armada kumpulan, kami mempunyai skala ekonomi yang lebih baik dari segi penjadualan kapal dan ia dapat memenuhi peluang perniagaan berpotensi baik di dalam mahupun luar negara," katanya dalam satu kenyataan.

Keyfield akan membiayai keseluruhan pembelian tersebut menggunakan hasil daripada terbitan sukuk yang telah diselesaikan pada Disember 2024.- DagangNews.com

standard