Paramount beli tanah seluas 119.6 hektar berharga RM129 juta di Kedah

08/08/2025 - 18:13
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Paramount Corporation Berhad membeli empat lot tanah pegangan bebas berkeluasan 119.6 hektar di Lunas, Kedah pada harga RM128.74 juta.
Ia merupakan kemunculan semula syarikat itu ke wilayah utara dengan mereka memiliki rekod pembangunan kukuh di sana.
Pembelian itu adalah sebahagian daripada strategi Paramount untuk menambah rizab tanah di kawasan pertumbuhan utama dan dijangka meningkatkan pendapatan masa depan syarikat.
Tanah tersebut akan dibangunkan sebagai sebuah bandar raya bersepadu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM946 juta dalam tempoh tujuh tahun, dengan pelancaran pertama disasarkan pada 2027.
Perjanjian pembelian itu disempurnakan menerusi, Paramount Property (Seaview) Sdn Bhd, yang telah memasuki perjanjian jual beli dengan Golden Bluechip Sdn Bhd.
Pembiayaan pemerolehan itu akan menggunakan dana dalaman syarikat dan pinjaman bank.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew berkata, terletak hanya 12km ke utara bandar Kulim dan 4km ke utara Fasa 4A Kulim Hi‑Tech Park (KHTP), kawasan tanah ini berada dalam rantau yang mendapat manfaat daripada aktiviti perindustrian yang pesat berkembang serta permintaan yang semakin meningkat terhadap perumahan berkualiti.
“Dengan kedudukan strategik Kulim, sambungan infrastruktur yang baik dan aliran masuk pelaburan, pemerolehan ini selaras dengan strategi kami untuk menambah rizab tanah di lokasi strategik yang mempunyai potensi pertumbuhan yang kukuh,” kata dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, penumpuan industri dan tenaga kerja yang semakin meningkat di KHTP dijangka mempercepat pertumbuhan penduduk dan permintaan perumahan di kawasan berhampiran seperti Bandar Lunas, menjadikannya satu “pilihan yang menarik” untuk pembangunan bandar seterusnya oleh kumpulan.
Paramount sememangnya telah mempunyai kehadiran kukuh di Kedah, setelah menyiapkan beberapa projek perbandaran yang terkenal di Sungai Petani, antaranya Taman Patani Jaya (70 hektar), Bandar Laguna Merbok (199.5 hektar), dan projek yang masih berjalan, Bukit Banyan (265.9 hektar).
Pembangunan baharu itu merangkumi komponen kediaman, komersial dan industri, bersama kemudahan utama yang bertujuan untuk menyokong pertumbuhan populasi tempatan dan tenaga kerja yang semakin berkembang di kawasan tersebut.
Dengan penambahan projek itu, jumlah portfolio GDV Paramount kini mencecah RM5.49 bilion. - DagangNews.com
standard

