
KUALA LUMPUR 19 Dis – Keyfield International Berhad mengukuhkan kehadirannya di pasaran Timur Tengah selepas membuat pelaburan strategik dalam sebuah anak syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta kejayaan memperoleh kontrak sewaan kapal pertama di rantau tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Keyfield berkata ia telah membuat pelaburan sebanyak 130,000 Dirham (AED) bersamaan kira-kira RM145,000 untuk memperoleh 65% pegangan dalam syarikat baharu di Timur Tengah, Keyfield Biham Marine FZCO.
Sebelum ini ia dikenali sebagai Biham Marine FZCO yang diperbadankan di UAE pada Mac 2025.
“Dokumen pegangan saham bagi pelaburan tersebut diterima daripada pihak berkuasa UAE pada 18 Disember 2025.
“Sebelum pelaburan dibuat, seluruh modal syarikat sebanyak AED50,000 dimiliki oleh Pengarah Urusan, Mr Stoyan Radev Ialamov.
“Selepas pelaburan, modal syarikat meningkat kepada AED200,000, dengan Mr Ialamov memegang 30% dan seorang pelabur lain memegang 5%.
“Keyfield juga akan menanggung sebahagian daripada kos pra-operasi Keyfield Biham sehingga AED1 juta menggunakan dana dalaman Kumpulan,” katanya dalam makluman tersebut.
Mr Ialamov, seorang veteran maritim dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri minyak dan gas luar pantai serta operasi di darat akan menyelia operasi komersial dan teknikal Keyfield Biham termasuk pembangunan perniagaan dan aktiviti sewaan kapal.
Keyfield Biham akan menjalankan perniagaan sewaan kapal, tongkang, pemeriksaan kapal, pengurusan dan operasi kapal serta bertindak sebagai perantara sewaan kapal di Timur Tengah.
Syarikat ini akan mengetuai aktiviti sewaan kapal kumpulan di rantau itu menggunakan kapal milik kumpulan sedia ada serta kapal pihak ketiga.
Sehingga kini, Keyfield Biham telah memperoleh kontrak sewaan daripada sebuah syarikat EPCC global yang terlibat dalam infrastruktur tenaga luar pantai dan darat.
Kontrak selama dua bulan bermula Disember 2025 itu boleh dilanjutkan satu bulan lagi dan akan dilaksanakan menggunakan kapal pihak ketiga yang telah dihantar ke Timur Tengah dari Malaysia.
Keyfield menjangka kapal tersebut akan digunakan untuk projek sewaan lain di Timur Tengah selepas kontrak awal ini selesai.
Kumpulan Keyfield Biham sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kontrak sewaan tambahan untuk kapal-kapal Kumpulan.
Kontrak sewaan yang diperoleh dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih Keyfield.
Risiko operasi dan perniagaan adalah serupa dengan kontrak dan operasi sedia ada di Malaysia dan akan dikawal melalui prosedur kawalan dalaman.
Tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua eksekutif Keyfield, atau individu berkaitan, mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam pelaburan atau kontrak sewaan Keyfield Biham.
Lembaga Pengarah Keyfield berpendapat bahawa pelaburan ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com

