Khai Xing mahu buktikan kemampuan gandingan baharu

7 Oct 2026 • 9:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Khai Xing mahu buktikan kemampuan gandingan baharu

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Kang Khai Xing memilih untuk tidak terus menoleh ke belakang selepas terpaksa berpisah dengan gandingannya, Aaron Tai bagi baki saingan musim ini, sebaliknya mahu menjadikan perubahan itu sebagai peluang menguji kemampuan bersama pasangan baharu, Lok Hong Quan.

Walaupun mengakui keputusan berkenaan sedikit mengecewakan selepas mereka berjaya membina momentum hingga menembusi kelompok 20 terbaik dunia, pemain kelahiran Kelantan itu kini mahu memberi sepenuh perhatian kepada tugas baharu yang menantinya.

Khai Xing mengakui bukan mudah untuk menerima perpisahan itu memandangkan dia dan Aaron sudah melalui proses panjang untuk mencapai kedudukan berkenaan, namun enggan membiarkan kekecewaan tersebut mengganggu fokusnya.

“Bagi saya, ada rasa sedikit sedih kerana kami sudah pun berjaya masuk ke dalam kelompok 20 teratas dunia. Secara jujur, bukan mudah sebenarnya untuk kami masuk berada dalam kelompok tersebut.

“Bagaimanapun, saya sudah pun melupakan apa yang berlaku dan hanya mahu fokus kepada diri sendiri sahaja,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Selepas ini, Khai Xing-Hong Quan akan memulakan cabaran kompetitif mereka pada Kejohanan Badminton Super 100 di Johor Bahru dari 13 hingga 18 Oktober ini, sekali gus menjadi medan pertama untuk menilai keserasian gandingan baharu itu.

Pada masa sama, pemain berusia 20 tahun itu masih menyimpan hasrat untuk kembali bergandingan dengan Aaron, namun menyedari dirinya perlu terlebih dahulu memperbaiki kelemahan dan memantapkan corak permainan sebelum memikirkan kemungkinan tersebut.

“Buat masa sekarang, saya akan cuba berikan fokus kepada diri sendiri terlebih dahulu. Sekiranya saya belum bersedia, tidak ada guna jika saya kembali berganding dengan dia (Aaron),” ujarnya. – UTUSAN

The post Khai Xing mahu buktikan kemampuan gandingan baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved