Khairul Aming simbol disiplin influencer Malaysia

LocalFood
5 Mar 2026 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fenomena Khairul Aming telah berkembang menjadi rujukan dalam ekosistem ekonomi digital tempatan.

FENOMENA Khairul Aming bukan lagi sekadar kisah kejayaan seorang pempengaruh memasak, sebaliknya telah berkembang menjadi rujukan baharu dalam ekosistem ekonomi digital tempatan.

Apa yang berlaku sepanjang Ramadan hampir sedekad lalu mengukuhkan lagi hakikat bahawa anak muda bernama Khairul Amin Kamarulzaman itu kini berada dalam kategori tersendiri. Bukan hanya pencipta kandungan, tetapi jenama peribadi yang membentuk budaya.

Tradisi 30 Hari 30 Resipi yang diperkenal sejak sembilan tahun lalu diteruskan tahun ini memperlihatkan konsistensi sebagai strategi utama. Dalam landskap media sosial yang bergerak pantas dan mudah melupakan, konsistensi menjadi 'aset' paling bernilai.

Setiap hari, pada waktu hampir sama, kandungan disiarkan dengan struktur kemas, visual jelas dan durasi mesra pengguna. Rutin itu membina jangkaan. Jangkaan membina kesetiaan. Kesetiaan akhirnya membina komuniti.

Fenomena ini menarik kerana ia berlaku dalam konteks Ramadan bulan yang secara tradisinya sarat dengan kandungan keagamaan dan kemasyarakatan. Namun, pendekatan anak muda lulusan kejuruteraan mekanikal dari Vanderbilt University, Amerika Syarikat itu tidak bersifat mensyarah atau terlalu komersial.

Resipi yang diketengahkan praktikal, bahan mudah diperoleh dan sesuai dengan cita rasa tempatan. Elemen ini menjadikan kandungan bukan sekadar tontonan, tetapi solusi harian kepada persoalan, hendak masak apa hari ini?

Lebih signifikan, impaknya melangkaui skrin telefon. Setiap kali satu resipi tular, akan muncul gelombang kecil ekonomi mikro. Peniaga kecil, suri rumah, pelajar universiti menggunakan idea tersebut untuk menjana pendapatan sepanjang Ramadan atau bulan-bulan selepas itu.

Dalam erti kata lain, pengaruhnya mencipta rantaian nilai. Ini bukan lagi fenomena viral semata-mata tetapi pemangkin ekonomi komuniti berskala kecil.

Dari sudut komunikasi, kekuatan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu terletak pada persona yang konsisten iaitu bersahaja, tidak kontroversi dan fokus kepada kerja. Ketika ramai pempengaruh bergantung kepada sensasi bagi mengekalkan relevansi, beliau memilih disiplin kandungan.

Malah, apabila wujud gurauan netizen kononnya 'bercerai' dengan resipi yang terlalu banyak, respons yang diberikan berbentuk humor terkawal, memperlihatkan kematangan mengurus persepsi awam.

Fenomena ini juga memperlihatkan perubahan landskap keusahawanan digital Malaysia. Dahulu, pencipta kandungan dan usahawan dianggap dua dunia berbeza. Kini, sempadan itu kabur. Kandungan menjadi alat pemasaran paling ampuh. Kepercayaan audiens diterjemah kepada jualan produk. Model ini jauh lebih organik berbanding strategi pengiklanan tradisional.

Namun, kejayaan sedemikian menimbulkan persoalan lebih besar, iaitu adakah fenomena ini boleh direplika? Jawapannya tidak semudah meniru format video atau jadual siaran. Yang sukar ditiru ialah disiplin bertahun-tahun, pelaburan dalam operasi perniagaan sebenar serta kefahaman mendalam tentang psikologi audiens tempatan.

Ramadan tahun ini membuktikan jenama peribadi yang dibina dengan strategi jelas mampu menjadi institusi kecil dalam masyarakat digital. Dalam era kepercayaan terhadap institusi formal semakin diuji, individu yang konsisten dan telus mampu mengisi ruang tersebut.

Akhirnya, fenomena Khairul Aming bukan tentang resipi semata-mata. Ia tentang bagaimana seorang anak muda memanfaatkan algoritma tanpa diperhambakan olehnya, membina komuniti tanpa memecah-belahkan serta menjadikan kandungan sebagai jambatan ekonomi.

*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian