Khairy dijangka sertai semula Umno di Sungai Buloh

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 9:55 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Keahlian bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dijangka disahkan di sebuah cawangan parti dalam Bahagian Sungai Buloh, Selangor, sekali gus menandakan kepulangannya selepas lebih dua tahun tersisih.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata parti menerima dengan terbuka hasrat Khairy untuk kembali aktif.

“Kita menerima dengan hati terbuka penyertaan semula beliau yang ingin kembali aktif dalam Umno. Sudah pasti ada peranan yang boleh kita berikan kepada beliau untuk membantu mengembalikan kekuatan Umno Selangor,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Khairy telah menyerahkan surat rayuan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu pertemuan malam kelmarin. Ahmad Zahid mengesahkan menerima surat tersebut, yang membuka jalan kepada proses kemasukan semula Khairy.

Khairy sebelum ini dipecat daripada Umno pada Januari 2023 bersama beberapa tokoh lain termasuk bekas Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan bekas Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan. Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Mengulas sama ada Khairy bakal diberikan kerusi untuk menarik sokongan anak muda pada Pilihan Raya Umum akan datang, Megat Zulkarnain menegaskan perkara itu tidak timbul.

“Dalam pertemuan bersama Ahmad Zahid, saya mendengar dengan jelas beliau menyatakan untuk tidak meminta-minta, apatah lagi untuk meletakkan apa juga permintaan dengan kembalinya dalam Umno. Ini juga terpakai untuk tidak memohon agar diberikan sebarang kerusi untuk beliau bertanding dalam PRU akan datang,” katanya lapor BH.

Sebaliknya, Khairy dilihat mahu menumpukan kepada peranan strategik dalam mengukuhkan parti.

“Tidak timbul soal ada demand yang beliau nyatakan. Itu semua bukan perkara utama. Seingat saya, hanya satu sahaja beliau mohon iaitu kalau dapat dipertimbangkan nombor keahlian lama diberikan kembali. Bertanding atau tidak, itu bukan ukuran, tetapi lebih penting ialah bagaimana beliau boleh kembali membantu UMNO untuk berhadapan dengan pilihan raya,” ujar Megat Zulkarnain. - 17 Mac, 2026

The post Khairy dijangka sertai semula Umno di Sungai Buloh appeared first on Scoop.