'Insya-ALLAH, I’m coming home' - Khairy Jamaluddin berharap kembali sertai UMNO

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 3:48 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PENYAMPAI radio Hot FM, Khairy Jamaluddin atau KJ kembali mengemukakan surat rayuan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyertai semula parti berkenaan.

KJ yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO menerusi Instagram meluahkan mengambil kesempatan di bulan Ramadan untuk menyampaikan surat berkenaan.

"Segala puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat ALLAH SWT, Tuhan sekalian alam, atas limpah kurnia-NYA mempertemukan kita sekali lagi dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan. 

"Dalam bulan yang mulia ini juga, saya mensyukuri kesempatan yang diberikan untuk kembali meneruskan khidmat bakti dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

"Terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah menerima kunjungan saya atas semangat Rumah Bangsa di bulan Ramadan yang mulia ini. Dengan jiwa besar presiden, beliau telah menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali.

"Saya menghargai keterbukaan dan kebesaran hati beliau dalam membuka ruang untuk kita melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti," kongsinya.

Dalam pada itu, KJ turut menjelaskan bahawa hasratnya untuk kembali bukan didorong oleh sebarang kepentingan peribadi, sebaliknya demi melihat sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah.

"Atas semangat Rumah Bangsa, saya telah secara rasminya memohon agar pemecatan keahlian saya dari UMNO dibatalkan dan nombor keahlian asal saya diaktifkan semula. Saya harap Presiden UMNO, Majlis Tertinggi UMNO dan Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan hasrat saya dengan sewajarnya.

Di saat politik tanah air berdepan dengan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bahtera perjuangan bangsa - UMNO - yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan.

image is not available

"Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan. Cukuplah saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa.

"Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya. Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.

"Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah. Insya-ALLAH I’m coming home," titipnya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan surat berkenaan diserahkan kepadanya dalam satu pertemuan yang berlangsung malam tadi.

Pada 5 Mac lalu, Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan bahawa parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai UMNO tanpa syarat.

Imbas kembali, KJ dipecat dari UMNO pada pada Januari 2023. Sementara itu, bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan pula digantung keahlian.

KJ atau penuhnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 50, kemudian menyertai stesen radio Hot FM. Malah bekas Menteri Kesihatan itu juga pernah dinobat Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Paling Popular pada tahun 2024.

Dia juga memulakan saluran YouTube podcast Keluar Sekejap (KS) bersama Shahril pada Februari 2023.