SHAH ALAM - Individu didapati bersalah melakukan khianat dengan api atau bahan letupan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, peruntukan itu termaktub di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang melibatkan perbuatan dengan niat memusnahkan rumah atau harta benda.
“Bagi Seksyen 435 kanun ang sama, khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat menyebabkan kerosakan bernilai RM50 atau lebih boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.
“Seksyen 427 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan bahawa khianat yang menyebabkan kerugian atau kerosakan harta boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau mengulas laporan muka hadapan Sinar Harian berhubung ketegangan membabitkan isu sensitiviti agama apabila tiga kenderaan milik aktivis, S Chandrasegaran atau Cikgu Chandra yang dikenali lantang membangkitkan isu pembinaan kuil, dibakar pada Selasa.
Muhammad Akram berkata, peruntukan undang-undang lain yang boleh dikenakan ialah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang melibatkan ugutan jenayah sekiranya terdapat ancaman terhadap keselamatan mangsa.
“Bagi kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan awam pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Selain itu, jika perbuatan tersebut melibatkan unsur hasutan kebencian atau ketegangan antara agama, pihak berkuasa juga boleh menyiasat di bawah Akta Hasutan 1948 atau peruntukan lain yang berkaitan dengan ketenteraman awam,” jelasnya.
Menurut beliau, sebarang tindakan berbentuk keganasan, ancaman atau provokasi tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat secara keseluruhan.
Tambahnya, mangsa mempunyai beberapa saluran undang-undang yang boleh diambil termasuk membuat laporan polis supaya siasatan jenayah dapat dijalankan terhadap pihak yang terlibat.
“Tindakan sivil di mahkamah juga boleh diambil bagi menuntut ganti rugi terhadap pihak terlibat termasuk tuntutan bagi kerosakan harta, kerugian kewangan, trauma serta kerugian lain yang berkaitan.
“Dalam keadaan tertentu, mangsa juga boleh memohon perintah perlindungan atau injunksi bagi menghalang mana-mana pihak daripada terus melakukan perbuatan yang boleh mengancam keselamatan diri atau harta benda,” ujarnya.
Muhammad Akram berkata, siasatan menyeluruh oleh pihak polis perlu dijalankan bagi mengenal pasti semua individu yang terlibat serta motif kejadian.
“Pendakwaan tegas di mahkamah adalah wajar sekiranya terdapat bukti mencukupi supaya perbuatan sedemikian tidak berulang," jelasnya.


![[Review] ‘Set Bertemu Rasa’ The Chicken Rice Shop, Cukup Untuk Berbuka Bersama Keluarga Kecil](https://cdn.newswav.com/img/topic/sales-and-promo.jpeg)
