Kibar bendera China, penganjur mohon maaf

LocalPolitics
25 Oct 2024 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular memaparkan peserta negara China mengibar bendera negara itu ketika perarakan sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan. Gambar kanan: Kenyatan Persatuan Kebudayaan Guan Gong

IPOH - Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia tampil memohon maaf susulan penularan video perarakan sambil mengibar bendera China di Menara Condong Teluk Intan pada Khamis malam.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, tindakan itu dilakukan oleh peserta rombongan dari China yang menyertai perarakan sambutan berkenaan.

"Untuk makluman semua, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.

"Sambutan Guan Gong Sedunia merupakan program yang telah berlangsung banyak tahun dan dianjurkan dari Johor ke Kedah, Perak merupakan salah satu stesen yang terlibat," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Menurutnya, menjadi kelaziman, pihak pengelola akan mengibarkan bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbol patriotik pada sambutan tersebut.

"Perarakan dan sambutan di Teluk Intan, Perak adalah tidak terkecuali daripada itu.

"Sebagai pihak pengelola, saya sekali lagi memohon maaf atas insiden tersebut dan akan meneliti segala aspek yang perlu diperbaiki demi menjayakan program tersebut," katanya.