Kibar bendera untuk hayati erti kemerdekaan

20 Aug 2022 • 1:31 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Sugut: Rakyat di Sugut perlu menghayati erti kemerdekaan Negara Malaysia dan Negeri Sabah dengan memberikan sokongan melalui pengibaran bendera Malaysia serta Sabah sempena Bulan Kemerdekaan ini.

Adun Sugut, Datuk James Ratib berkata, penghayatan rakyat terhadap hari bersejarah itu penting agar semangat patriotisme dan jati diri mereka untuk lebih menghayati erti keamanan dalam kemerdekaan dapat diterapkan.

Katanya, melalui pemasangan bendera Malaysia dan Sabah di kawasan perumahan dan premis perniagaan, ia merupakan satu penghargaan bermakna sebagai warganegara Malaysia yang hidup dalam suasana aman dan harmoni selepas merdeka.

“Saya menyeru seluruh rakyat di Sugut untuk memberikan sokongan padu bagi menyemarakkan lagi erti kemerdekaan pada Ogos ini di mana kita akan menyambut Hari Kebangsaan pada hujung bulan ini. Hargai keharmonian sesuai dengan slogan Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

James yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah menjelaskan, sebagai pemimpin di kawasan itu, beliau akan terus meningkatkan usaha membantu rakyat dengan pembangunan sejagat yang bersesuaian khususnya untuk infrastruktur pendidikan, kesihatan dan pertanian.

Jelasnya, Daerah Kecil Paitan dijangka menjadi daerah penuh dan kerajaan negeri sedang mempertimbangkan permohonan itu sebagai hadiah sempena hari kemerdekaan negara dan negeri Sabah agar penduduk di kawasan pedalaman dapat menikmati pembangunan lebih maju.

“Sudah 65 tahun sejak kemerdekaan Malaysia, manakala 59 tahun di Sabah. Saya berharap Paitan dapat menukar statusnya kepada daerah penuh tidak lama lagi.

“Ini dianggap sebagai hadiah kepada penduduk kawasan pedalaman untuk terus merancakkan pembangunan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.