
KUALA LUMPUR: Rancangan popular Kilauan Emas kembali dengan menampilkan perbezaan apabila mengetengahkan 10 selebriti sebagai peserta.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahar, keputusan itu dibuat sempena ulang tahun Astro dan untuk memberi sajian berlainan kepada penonton.
“Kilauan Emas kembali dengan format berbeza sempena ulang tahun ke-30 Astro. Ia diberi nafas baharu apabila uji bakat terbuka kepada selebriti.
“Tapi peserta yang dipilih bukan dalam kalangan penyanyi profesional dan tidak pernah merakamkan single. Mereka yang dipilih adalah selebriti terkenal berusia 49 tahun ke atas yang berkecimpung dalam pelbagai bidang.
“Kita melihat artis veteran masih bekerja keras, bekerja dari awal pagi sehingga lewat malam. Dan selain berlakon dan mengacara, mereka ada minat mendalam terhadap nyanyian.
“Jadi kami terpanggil menyediakan Kilauan Emas ini sebagai platform untuk menunjukkan kebolehan nyanyian mereka,” katanya.
Antara yang bakal berentap di pentas berkenaan ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Mubarak Majid, Fazlina Ahmad dan Katy Azean.
Turut bersaing ialah Rahim Omar, Maria Tengku Sabri, Zila Bakarin, Amyza Aznan dan Rashdan Baba.
Dalam masa yang sama, pemenang minggu program itu turut berpeluang untuk menyumbangkan dana kepada rakan selebriti memerlukan.
“Kilauan Emas memberi peluang kepada peserta itu membuat kerja amal dimana pemenang setiap minggu bakal menyumbangkan hadiah berupa wang ringgit kepada rakan artis memerlukan.
“Jumlah dana akan diumumkan secara minggu sepanjang program ini berjalan manakala penerima sumbangan dikenal pasti melalui inisiatif Astro Kasih.
Lebih istimewa apabila Kilauan Emas selebiriti kali ini menampilkan tiga juri termasuk penyanyi dan pelakon, Datuk Yusry Abdul Halim dan pelakon, Jeehan Miskin.
Menurut Yusry, program ini adalah untuk mencapai matlamat dan sasarannya iaitu menyumbangkan dana kepada rakan selebriti yang dalam kesusahan.
“Semua peserta kebanyakannya adalah selebriti yang lebih senior daripada saya. Saya tahu mereka memang suka menyanyi kerana ada dalam kalangan mereka yang pernah bekerja di bawah arahan saya.
“Ia akan menjadi rancangan yang menyeronokkan. Tetapi harus diingat, ia bukan seperti program Gegar Vaganza yang menguji kekuatan vokal peserta.
Dari segi komen, saya perlu ada kelonggaran dalam melontarkan pandangan. Ia bukan semata-mata rancangan nyanyian.
“Apabila anda melihat pesertanya, anda akan tahu bahawa program ini adalah untuk menyumbangkan suara sambil menyumbangkan dana,” katanya.
Kilauan Emas Selebriti bakal membuka tirai pada 22 Ogos ini disaluran Astro Ria dengan menampilkan hos terkenal Raja Azura bakal bergandingan bersama Keanu Azman.- UTUSAN
The post Kilauan Emas Selebriti, platform artis beramal appeared first on Utusan Malaysia.





