
WhatsApp sedia mengintegrasikan sokongan panggilan audio dan video pada aplikasi mereka, memudahkan pengguna untuk membuat panggilan antara satu sama lain dalam berbincang, mengetahui kemaskini, atau sekadar berbual biasa.
Selepas sekian lama ditawarkan untuk digunakan dalam kalangan pengguna WhatsApp sahaja, bermula kini, pihak WhatsApp turut memperkenalkan ciri panggilan tetamu, membolehkan sesiapa sahaja menyertai panggilan di WhatsApp walaupun tidak mempunyai akaun WhatsApp.

Ini juga sekaligus memudahkan lagi pengguna menikmati panggilan yang disulitkan tanpa sebarang had masa – berbeza dengan penyedia lain, terutamanya untuk panggilan video. Tetamu yang dijemput juga tidak boleh melihat nombor telefon peserta lain, menghantar mesej atau membuat panggilan terus ke peserta lain dalam panggilan berkenaan – sekaligus memastikan privasi terjaga.
Bagi menggunakan ciri ini, anda boleh ke tab Panggilan di WhatsApp, dan seterusnya memilih ikon “+”, seterusnya mencipta pautan panggilan dan berkongsi dengan rakan anda yang lain.



