Bank digital islamik pertama di Malaysia iaitu AEON Bank telah memulakan perkhidmatan perbankan digital tahun lepas dan hari ini mereka telah menambah satu lagi pernawaran menerusi aplikasi mereka. Mereka berkongsi yang mana kini pengguna aplikasi AEON Bank boleh membeli perlindungan Zurich Takaful yang patuh syariah terus dari aplikasi.

Menggunakan aplikasi AEON Bank, pengguna boleh memilih dua pelan takaful dari Zurich iaitu ‘Personal Accident Takaful’ dan juga ‘Term Takaful’. Pelan perlindungan ‘Personal Accident Takaful’ boleh dibayar pada kadar RM 5 sebulan yang menyediakan perlindungan sekiranya berlaku hilang upaya kekal menyeluruh atau kematian akibat kemalangan. Pelan ’Term Takaful’ pula boleh dibayar pada kadar RM 18 sebulan, dan menyediakan perlindungan yang lebih menyeluruh merangkumi kematian atau hilang upaya kekal akibat semua sebab, termasuklah perbelanjaan pengebumian dan manfaat hospital. Kedua-dua pelan ini ditawarkan dengan pilihan jumlah perlindungan RM 50,000 atau RM 80,000. Untuk masa terhad, mereka menawarkan pelan ‘Personal Accident Takaful’ tanpa bayaran selama 6 bulan pertama kemudian disusuli pembayaran serendah RM 5 sebulan.

Dengan penawaran Zurich Takaful menerusi aplikasi perbankan AEON Bank ini semestinya menambah portfolio penawaran produk dari AEON Bank, dan memudahkan pengguna mencari produk dan perkhidmatan kewangan yang patuh syariah. Pada bulan Mei lepas mereka turut melancarkan kad Debit AEON Bank-i, fungsi Savings Pot, dan juga pembiayaan peribadi terus dari aplikasi.




