
PETALING JAYA – Seorang penyewa meluahkan rasa tidak puas hati selepas sebahagian deposit rumah sewanya dipotong sebanyak RM250 atas alasan beberapa bahagian kediaman itu tidak dibersihkan dengan sempurna.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita berkenaan mendakwa pemilik rumah memaklumkan bahawa enam buah kipas angin, sawang serta kawasan belakang rumah tidak dibersihkan sebelum kediaman tersebut dikosongkan.
Menurut tangkap layar perbualan yang dikongsikan, pemilik rumah berkenaan memutuskan untuk memotong RM250 daripada keseluruhan deposit berjumlah RM1,500 bagi menampung kos pembersihan.
“Nanti kongsi kod QR, akak nak pulangkan baki deposit RM1,250. Akak tak sakau eh, akak tolak deposit untuk pembersihan,” kata pemilik rumah itu dalam mesej berkenaan.
Bagaimanapun, penyewa terbabit mempertikaikan keputusan tersebut dengan mendakwa keadaan rumah telah dibersihkan sebelum mereka berpindah keluar.
“Pemilik rumah dengan 1,001 cara mencari alasan sehingga celah kipas yang tinggi pun dicari kesalahan.
“Taman belakang memang dari awal pindah sudah seperti hutan belantara. Kalau mahu bersihkan dan mengupah orang, sudah tentu kosnya tinggi,” dakwanya.
Wanita itu turut berkongsi gambar ruang dalam rumah yang kelihatan kosong dan lantainya telah dibersihkan.
Wanita itu dalam masa yang sama menasihatkan penyewa lain supaya melakukan kerja pembersihan menyeluruh sebelum menyerahkan semula rumah sewa bagi mengelakkan deposit dipotong.
“Korang ambil iktibar daripada saya. Pastikan sebelum keluar dari rumah sewa, buatlah ‘deep cleaning’. Jangan biar ada sedikit pun habuk kalau tidak mahu duit deposit dipotong,” katanya.
Perkongsian tersebut meraih perhatian pengguna media sosial dengan lebih 273,000 tontonan serta ribuan tanda suka.
Rata-rata pengguna turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila deposit mereka dipotong atas pelbagai alasan, termasuk kewujudan habuk dan kesan pelekat pada pintu.
“Saya pernah kena, dia ambil gambar habuk secoet. Saya cakap tu habuk orang yang datang cek. Saya dah hantar gambar sebelum serah kunci semua bersih. Lepastu dia tolak dekat pintu ada kesan salotape,” tulis @Nadiamdyusof.
“Weh tak terfikir sebab habuk haha. Semoga tuan rumah awak dibukakan pintu hatinya untuk pulangkn duit deposit awak,” tulis @Nadiarosli.
“Dulu pernah menyewa di Shah Alam. Pemilik ‘burn’ 100 peratus deposit antara alasan lantai dah tak berkilat dan cat dinding dah kekuningan. Agaknya dia lupa ada ‘wear and tear’,” komen @Thealhafiz pula. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kipas, sawang tak dibersihkan, tolak deposit RM250’ appeared first on Kosmo Digital.

