Kisah CNY & Aku

22 Jan 2023 • 9:00 AM MYT
Ciksara
Ciksara

Penulisan yang baik perlukan kewarasan dan jiwa.

Image from: Kisah CNY & AkuImage Credit: Unsplash - Scribbling Geek

Di Malaysia, sambutan tahun baru cina bukan sahaja disambut oleh kaum cina, malah kaum lain juga turut menantikan ketibaan perayaan ini. Beberapa hari sebelum menjelangnya perayaan tahun baru cina, kita dapat lihat pelbagai bentuk tanglung dan hiasan mula digantung disepanjang jalanan utama, bangunan hotel dan kompleks beli belah.

Mengikut kalendar Lunar, setiap tahun perayaan tahun baru cina disambut mengikut zodiak yang berbeza. Tahun baru cina dibahagikan kepada kitaran bagi 12 tahun mengikut jenis zodiak haiwan seperti harimau, ular dan arnab. Perayaan ini biasanya disambut selama 15 hari dan berakhir pada Pesta Tanglung atau dikenali sebagai “Chap Goh Mei”.

Bercerita tentang perayaan ini, saya teringat kenangan semasa masih kecil. Kami sekeluarga dibesarkan disebuah perkampungan yang terdiri daripada kalangan melayu dan cina. Kami sering bercampur dan bergaul dengan jiran-jiran cina dalam menjalankan urusan harian. Jadi, setiap kali perayaan cina tiba, kami penduduk melayu juga turut merasai kemeriahannya.

Sehari sebelum menjelang perayaan, kami dapat lihat jiran-jiran kaum cina mula sibuk membersih dan menghiasi rumah masing-masing. Mengikut kepercayaan mereka, tradisi membersihkan rumah adalah bagi tujuan untuk "membuang" nasib malang dan "menjemput" tuah masuk ke dalam rumah mereka. Rumah mereka juga akan digantung dengan hiasan serta tanglung berwarna merah kerana merah melambangkan tuah dan kejayaan.

Sehari sebelum perayaan, semua ahli keluarga yang berada diperantauan akan pulang ke kampung untuk berkumpul "makan besar" bersama. Tradisi ini dianggap sangat penting dan wajib dilakukan ketika menyambut tahun baru cina. 

Keesokkanya, kami akan datang melawat rumah mereka. Kami dijamu dengan pelbagai makanan halal seperti kuih bakul, tart nenas dan kuih sepit. Tetamu juga disajikan dengan persembahan tarian singa. Apabila hendak pulang, kami akan diberikan hadiah buah oren dan "ang pow" simbolik memberikan tuah kepada penerimanya.

Bagi kanak-kanak, melihat tarian singa dan mendapat ang pow adalah satu detik yang cukup mengembirakan hati dan menjadi memori terindah tentang perayaan ini. Sambutan tahun cina cukup bermakna kerana kita bukan sahaja dapat mengeratkan rukun tetangga malah kita dapat saling memahami budaya dan tradisi masyarakat yang berbeza agama dan kaum. Inilah keunikan negara kita yang patut kita banggakan kerana biarpun kita berbeza tapi kita dapat hidup dengan harmoni bersama.


Ciksara adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.